JASIN – Bangunan yang menempatkan bilik guru dan pejabat pentadbiran di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dang Anum, Merlimau di sini terbakar dalam kejadian yang berlaku pada awal pagi Khamis.
Kejadian kira-kira jam 5.30 pagi itu dipercayai mengakibatkan empat bilik guru musnah dalam kebakaran itu.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Merlimau, Pegawai Bomba Kanan I Mohd Sukur Md Ali berkata, bagaimnapun tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan ketika kejadian sesi persekolahan di sekolah itu belum bermula.
"Bomba menerima panggilan kecemasan menerusi talian MERS 999 pada jam 5.36 pagi sebelum jentera pertama dikejarkan ke lokasi dua minit kemudian.
"Pasukan Keluaran Operasi (PKO) di tempat kejadian, mendapati benar berlaku kebakaran melibatkan bilik guru di tingkat satu bangunan sekolah," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Jelasnya, kebakaran meliputi keluasan kira-kira 80 x 60 kaki persegi dengan anggaran kemusnahan sebanyak 80 peratus.
Ujarnya, sehingga kini operasi pemadaman sedang dijalankan dengan menggunakan dua aliran sepanjang 200 kaki serta tiga pancutan air dari pili bomba.
"Operasi ini turut membabitkan seramai 19 anggota dari empat balai terlibat dalam operasi ini, iaitu BBP Merlimau, BBP Jasin, BBP Padang Temu dan BBP Bukit Katil.
"Setakat jam 7 pagi ini, operasi masih diteruskan dan punca kebakaran masih dalam siasatan," katanya lagi.
Litar pintas dipercayai punca bangunan sekolah terbakar
MELAKA – Litar pintas dipercayai menjadi punca kebakaran yang memusnahkan sederet bangunan tingkat satu di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dang Anum di sini awal pagi Khamis.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka, Mohd Zaidi Maat berkata, sebelum kejadian, difahamkan bangunan yang menempatkan bilik guru, bilik Reka Bentuk dan Teknologi (RBT), bilik Pendidikan Moral serta bilik Grafik Komunikasi dan Teknikal (GKT) sedang menjalani proses penggantian sistem pendawaian baharu.
Menurut beliau, siasatan awal pihaknya tidak menemui sebarang unsur khianat, namun siasatan lanjut akan diteruskan dengan bantuan unit anjing pengesan (K9) bomba.
“Kita nak tengok juga kalau ada perbuatan khianat, tapi secara asasnya kita tak nampak perkara itu.
“Tetapi kita sedang menyiasat secara keseluruhan punca dan sebab kebakaran,” katanya selepas meninjau lokasi kejadian.
Hadir sama, Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman.
Tambah Mohd Zaidi, pasukan pemadam kebakaran turut berdepan cabaran tekanan air rendah di lokasi, menyebabkan mereka terpaksa mendapatkan bekalan air dari Taman Baru Merlimau yang terletak berhampiran sekolah.
Ujarnya, berdasarkan piawaian jabatan, tekanan air minimum yang diperlukan ialah 1.7 bar bagi memastikan air boleh disedut dan disalurkan ke jentera bomba.
“Kita perlukan sekurang-kurangnya satu bar tekanan air untuk membolehkan air masuk dan keluar ke jentera, tetapi tekanan air pagi tadi tidak mencapai tahap tersebut.
“Kalau tak sampai satu bar, air tak boleh disedut, dan tekanan air hari ini mungkin tidak sampai satu bar. Jadi, tekanan terlalu rendah,” katanya.
Sementara itu, Rahmad berkata, bangunan terbabit sedang menjalani kerja-kerja menaik taraf sistem pendawaian elektrik sejak 16 minggu lalu dan dijangka siap dalam tempoh 10 minggu lagi.
“Namun siasatan terperinci akan dijalankan dan sekiranya kejadian ini berpunca daripada kecuaian kontraktor, kita tidak akan berkompromi,” ujarnya.
Terdahulu, Sinar Harian melaporkan bahawa bangunan yang menempatkan bilik guru dan pejabat pentadbiran itu terbakar dalam kejadian kira-kira jam 5.30 pagi.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Merlimau, Pegawai Bomba Kanan I Mohd Sukur Md Ali berkata, tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan kejadian berlaku ketika sesi persekolahan belum bermula.
Kebakaran melibatkan keluasan kira-kira 80 x 60 kaki persegi dengan anggaran kemusnahan sebanyak 80 peratus.