Penarikan produk mandatori: Sudah sampai masanya undang-undang diperkemas

Iklan
Malaysia menyaksikan kelewatan dalam tindakan menarik balik produk yang didapati berbahaya baik dari segi makanan, alat elektrik, barangan bayi mahupun kenderaan.

SHAH ALAM – Isu keselamatan pengguna sekali lagi menjadi perhatian apabila kerajaan digesa meminda Akta Perlindungan Pengguna 1999 dan Akta Perihal Dagangan 2011 bagi memasukkan peruntukan penarikan balik produk secara mandatori.

Gesaan tersebut dilontarkan oleh Setiausaha Agung Persatuan Pengguna-Pengguna Standards Malaysia, Saral James Maniam, yang melihat keperluan mendesak bagi Malaysia mengikut jejak langkah negara-negara maju dalam memastikan keselamatan rakyat tidak dikompromi.

Iklan
Iklan

Menurut beliau, negara seperti Kesatuan Eropah (EU), United Kingdom (UK), Jepun dan Singapura telah lama mengamalkan pendekatan proaktif dalam aspek penarikan semula produk yang membahayakan pengguna, tanpa perlu menunggu tekanan awam atau tragedi berlaku terlebih dahulu.

Dalam beberapa kes sebelum ini, Malaysia menyaksikan kelewatan dalam tindakan menarik balik produk yang didapati berbahaya baik dari segi makanan, alat elektrik, barangan bayi mahupun kenderaan.

Iklan

Tindakan bergantung kepada notis sukarela pengilang selalunya memakan masa, malah ada kes yang langsung tidak mendapat tindakan susulan.

Ini menimbulkan persoalan besar siapa yang menjadi benteng utama bagi melindungi pengguna apabila sesuatu produk terbukti membahayakan?

Iklan

Berdasarkan pengalaman banyak negara, pendekatan mandatori memberi kuasa kepada agensi penguat kuasa untuk mengeluarkan arahan serta-merta tanpa perlu menunggu tindakan pengeluar.

Kita tidak boleh menunggu insiden berlaku baru mahu bertindak. Dalam banyak keadaan, kelewatan menarik produk berbahaya boleh mengorbankan nyawa.

Kalau negara lain sudah lama laksanakan pendekatan ini, mengapa kita masih tertinggal?

Pengguna Malaysia juga berhak dilindungi melalui mekanisme yang cekap dan berkesan.

Cadangan pindaan undang-undang ini juga dilihat seiring dengan hasrat kerajaan untuk memperkukuh ekosistem kepenggunaan negara seperti yang digariskan dalam Dasar Pengguna Negara dan Rangka Tindakan Strategik Pengguna 2021 hingga 2025.

Penarikan produk secara mandatori bukan semata-mata soal undang-undang, tetapi mengangkat martabat pengguna di mata sistem perundangan negara.

Ia menandakan bahawa keselamatan rakyat diutamakan dan kebertanggungjawaban pengeluar dipandang serius.

Di saat pengguna berdepan dengan banjiran produk dari dalam dan luar negara sebahagiannya tidak mengikut piawaian keperluan untuk satu sistem yang tegas dan menyeluruh adalah semakin mendesak.

Kerajaan perlu mendengar gesaan ini, bukan kerana desakan kumpulan tertentu, tetapi kerana keselamatan rakyat adalah keutamaan nombor satu.

Sudah tiba masanya Akta Perlindungan Pengguna 1999 dan Akta Perihal Dagangan 2011 diperkukuh dengan memasukkan peruntukan penarikan balik produk secara mandatori.

Malaysia tidak boleh ketinggalan dalam hal yang melibatkan keselamatan rakyat. Jika EU, UK, Jepun dan Singapura boleh, mengapa tidak Malaysia?