SHAH ALAM - Kedutaan Besar Malaysia di Amman, Jordan memaklumkan keadaan semasa di Jordan tenang, selamat dan stabil.
Menurutnya, sejak pengumuman gencatan senjata pada 24 Jun lalu, tiada lagi siren keselamatan dibunyikan pihak berkuasa Jordan atau insiden kedatangan kejatuhan objek asing di Jordan.
"Pada masa ini, operasi harian dan aktiviti masyarakat telah berjalan seperti biasa. Lapangan Terbang Antarabangsa Queen Alia, Amman juga beroperasi seperti normal bagi urusan pelepasan dan ketibaan pelancong.
"Industri perdagangan dan pelancongan Jordan juga turut berjalan rancak seperti sebelumnya," menurut kenyataan yang dimuat naik di akaun Facebook kedutaan pada Rabu.
Sebelum ini, ketegangan tercetus pada 13 Jun apabila Israel melancarkan serangan udara di beberapa lokasi di seluruh Iran, termasuk kemudahan ketenteraan dan nuklear, menyebabkan Tehran bertindak balas.
Pada 20 Jun, Amerika Syarikat melakukan serangan udara ke atas tiga tapak nuklear Iran yang mencetuskan ketakutan dan kecaman di seluruh dunia.
Tambah kenyataan itu, semua rakyat Malaysia tidak mempunyai sebarang halangan untuk berkunjung ke Jordan.
Katanya, rakyat Malaysia juga bebas untuk bergerak dan melaksanakan aktiviti harian tanpa sekatan.