KUMPULAN 4U2C menuntut permohonan maaf daripada beberapa individu yang didakwa mengeluarkan kenyataan sehingga menimbulkan kekeliruan dan menjejaskan kredibiliti mereka berkaitan isu hak cipta lagu.
Peguam, Tan Kong Hai yang mewakili penganjur konsert WE 4U2C Live In Concert iaitu Juss Events memaklumkan anak guamnya tidak akan bertoleransi dengan dakwaan tidak benar yang kini ditularkan dan hangat diperkatakan di media sosial.
“Adalah penting bagi pihak penganjur mematuhi undang-undang dan mendapatkan permit dan lesen yang sah untuk menganjurkan konsert ini.
"Kami sudah mohon lesen kepada pihak berkaitan dan kami tidak akan bertoleransi dengan sebarang kenyataan yang tidak benar mengenai penganjuran konsert ini.
"Justeru, kami menuntut permohonan maaf secara terbuka dalam tempoh 24 jam dari beberapa individu yang sebelum ini membuat kenyataan tidak berasas.
“Jika gagal berbuat demikian, kami akan meneruskan tindakan undang-undang,” katanya dalam sidang media khas pada petang Rabu yang turut disiarkan secara langsung menerusi Instagram 4U2C.
Terdahulu, penganjuran WE 4U2C Live In Concert dihimpit kontroversi susulan kenyataan komposer, Man Senoi dan isteri, Mama Rap mempertikaikan hak cipta lagu kumpulan tersebut dan bercadang untuk mengambil tindakan sekiranya kumpulan 4U2C meneruskan keputusan untuk membawa lagu-lagu ciptaan mereka tanpa kebenaran di konsert itu nanti.
Keadaan semakin hangat diperkatakan apabila beberapa penggiat industri seperti komposer terkenal, Ajai dan Timbalan Presiden Music Malaysia yang juga Presiden IRAMA Entertainment Komuniti Industri Rakaman Muzik Malaysia (IRAMA), Ayob Abdul Majid memberi pandangan berkenaan isu terbabit.
Sementara itu, anggota 4U2C, Datuk AC Mizal tidak dapat menahan sebak dan meluahkan rasa kecewa dengan kenyataan yang disifatkan tidak berasas oleh rakan industri.
AC berkata, beliau melihat kenyataan itu menjejaskan kredibiliti, selain menimbulkan kekeliruan sehingga mengganggu kelancaran jualan tiket konsert mereka.
"Kami hanya mahu mencari rezeki. Bila keluar kenyataan individu ini yang memberi gambaran seolah kami yang salah.
"Kami tidak salah, kami buat benda yang betul. Kami cuma mahu menghiburkan peminat. Penat nak layan benda-benda yang tidak betul.
"Bila jadi sebegini, di mana letak kami dalam industri? Saya tidak boleh toleransi benda macam ini, saya sudah 35 tahun berada dalam industri dan ini yang saya dapat?” ujarnya sebak.
Tambah AC lagi, dia berterima kasih kepada Datuk Zainal Abidin, Datuk Amy Search dan Datuk Norman Abd Halim yang menghubunginya bagi menyatakan sokongan, termasuk memberi pandangan berkenaan isu ini.
"Di bawah undang-undang Badan Perlindungan Hak Cipta Muzik Berhad (MACP) iaitu Akta Hak Cipta 1987 menetapkan penyanyi tidak perlu mendapatkan kebenaran pencipta bagi lagu-lagu yang dipersembahkan secara langsung.
"Dengan adanya permit dari MACP, kami berada di pihak yang betul. Mereka tidak faham akta dalam MACP, tetapi kenapa agresif tentang kami?
“Kami bukan nak bersaing, kami cuma mahu buat persembahan. Kita tidak kacau orang lain pun.
“Bila jadi begini ramai tanya dalam media sosial, ramai doa konsert ini dibatalkan,” luah AC kesal.