SHAH ALAM – Rasuah politik, terutama yang berkaitan dengan pemilikan dan eksploitasi sumber asli negara, merupakan antara bentuk pengkhianatan keji terhadap rakyat.
Pengerusi Gerakan Belia 4B Pulau Pinang, Mohamad Nazri Abdul Latiff berkata, pihaknya memandang serius isu rasuah membabitkan dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabah dan seorang ahli perniagaan seperti yang didakwa di Mahkamah Sesyen baru-baru ini berhubung isu lesen perlombongan mineral di negeri tersebut.
Ujar beliau, isu itu dilihat mencemar nama baik institusi Dewan Undangan Negeri (DUN), malah menggugat keyakinan masyarakat, khususnya generasi muda, terhadap sistem politik dan proses demokrasi negara.
“Pertuduhan di bawah Seksyen 16(a)(A) dan 16(b)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 jelas menunjukkan betapa parahnya budaya salah guna kuasa dalam kalangan individu yang sepatutnya memikul amanah rakyat.
“Anak muda semakin muak dan hilang kepercayaan apabila pemimpin yang diangkat melalui pilihan raya terbabit dalam skandal menjijikkan demi kepentingan peribadi,” katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.
Sebelum ini, negara menyaksikan perkembangan kes melibatkan dakwaan skandal rasuah berkaitan lesen perlombongan mineral di Sabah.
Dua ADUN Sabah dan seorang ahli perniagaan bergelar Datuk masing-masing mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan rasuah di Mahkamah Rasuah Khas, Kota Kinabalu, pada Isnin.
Sementara itu, Mohamad Nazri turut menekankan pendirian untuk reformasi menyeluruh terhadap budaya politik negara yang menjadi tuntutan generasi muda masa kini.
Menurutnya, pemimpin yang berintegriti bukan sahaja bebas daripada rasuah, malah berani menolak dan melawan sistem yang rosak.
Justeru, katanya, Gerakan Belia 4B Negeri Pulau Pinang merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada SPRM atas ketegasan dan keberanian bertindak tanpa mengira status atau pangkat pihak yang terlibat.
“Tindakan ini menunjukkan bahawa prinsip keadilan dan integriti masih menjadi asas penting dalam sistem penguatkuasaan negara.
“Kami berdiri bersama rakyat Malaysia menuntut akauntabiliti, ketelusan dan keberanian politik dalam memerangi rasuah. Tiada siapa harus dikecualikan daripada undang-undang,” ujarnya.