BANGI - Malaysia sudah menghantar wakil ke Geneva, Switzerland untuk berkongsi pengalaman dengan Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) dalam menggubal undang-undang baharu berkaitan ekonomi gig.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, ia selepas mempertimbangkan hasrat pertubuhan itu untuk mempelajari pengalaman Malaysia yang menjadi satu-satunya negara merangka perundangan khusus bagi memantau keseluruhan ekosistem ekonomi berkenaan.
"Pengerusi Majlis Ekonomi Gig Malaysia, Datuk Seri Shakar Shamsudin sudah berada di Geneva untuk membentangkan (pengalaman Malaysia menggubal akta berkaitan ekonomi gig) kepada ILO.
"Perkongsian ini penting kerana kebanyakan negara lain hanya meminda akta sedia ada bagi memasukkan peruntukan berkaitan ekonomi gig," katanya ketika sidang akhbar selepas Sesi Meja Bulat Ekonomi Perkongsian dan Industri Gig bersama Timbalan Perdana Menteri, pada Selasa.
Turut hadir dalam sesi tersebut ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Transformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said; Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad dan Ahli Parlimen Ledang, Syed Ibrahim Syed Noh.
Sementara itu, Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Jawatankuasa Tertinggi (HLC) Suruhanjaya Ekonomi Gig Malaysia (SEGiM) memaklumkan, rang undang-undang (RUU) berkaitan ekonomi gig dijangka dibentangkan di Dewan Rakyat pada Ogos dan September depan.
Beliau turut yakin cadangan SEGiM bagi memastikan susunan dan kawal selia ekosistem industri gig dapat dilaksanakan secara lebih berkesan.
Selain itu menurutnya, sesi libat urus berterusan antara kerajaan dan pemain industri akan diteruskan bagi memastikan semua isu berbangkit dapat diselesaikan.
Ini kerana antara kebimbangan dibangkitkan pemain industri ekonomi gig adalah pertindihan tugas dan pembayaran gaji minimum mengikut kadar ditetapkan kerajaan.
"Saya sudah menyatakan perkara ini sejak awal tahun yang mana suruhanjaya perlu ditubuhkan dan akta tersebut akan memberi perlindungan, bukan hanya Kementerian Sumber Manusia, Kementerian Digital dan Kementerian Pengangkutan.
"Suruhanjaya ini akan diletakkan di bawah Jabatan Perdana Menteri bagi mengkoordinasikan dan penguatkuasaan akta berkaitan. Mudah-mudahan soal ini dapat dilaksanakan selepas dibentangkan ke Parlimen," katanya.