Kes tembak di Cheras dan Brickfields tiada kaitan - Polis

Iklan
Mohamed Usuf

KUALA LUMPUR - Polis mengesahkan dua kejadian tembakan berasingan di Cheras dan Brickfields yang berlaku baru-baru ini tidak mempunyai sebarang kaitan.

Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohamed Usuf Jan Mohamad berkata, siasatan terhadap semua kes berkenaan masih diteruskan dengan tumpuan kepada motif dan pengesanan suspek.

Iklan
Iklan

"Suspek bagi kejadian tembakan di Cheras masih belum dikenal pasti kerana memakai topeng muka dan topi, sekali gus menyukarkan proses pengecaman.

“Semua penjenayah tersebut menggunakan 'ski mask' (topeng muka). Sampai hari ini kita masih lagi gagal untuk kenal pasti walaupun kita cuba buat fotofit lebih kurang 40 peratus,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Seminar Intelektual Inspirasi Remaja Madani 2025 di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur di sini pada Rabu.

Iklan

Beliau berkata, motif bagi kejadian di Brickfields telah dikenal pasti dan polis kini dalam usaha mengesan mereka yang disyaki terlibat.

“Motif lebih bersifat gengster, perebutan kawasan dan melibatkan elemen-elemen yang tidak sihatlah, dadah dan sebagainya,” katanya.

Iklan

Mohamed Usuf berkata, siasatan juga mendapati tiada kaitan antara kejadian tembakan di Cheras dan satu lagi kes sama di Meru, Selangor pada 20 Jun lalu.

“Kes di Meru tiada kaitan dengan kes yang di Cheras, tidak ada kena mengena langsung, elemennya jelas berbeza,” katanya.

Bagaimanapun, katanya siasatan terhadap kes tembakan di Brickfields masih dijalankan dan belum dapat dipastikan sama ada mempunyai kaitan dengan kes Meru.

Mengulas lanjut, Mohamed Usuf berkata, siasatan turut mendapati senjata api yang digunakan dalam kedua-dua kejadian juga berbeza.

“Senjata api tidak sama bagi kes di Cheras dan di Brickfields, namun kita masih menunggu keputusan analisis balistik daripada Jabatan Kimia.

“Setakat ini kita baru dapat satu kelongsong peluru. Kita hantar (jabatan) kimia untuk kita buat ujian,” katanya.

Menurutnya, bagi kes di Brickfields, seramai 20 individu sudah dirakam percakapan setakat ini sebagai saksi siasatan.

Dalam kejadian di Brickfields pada 13 Jun lalu, seorang lelaki maut manakala dua lagi cedera selepas ditembak dari jarak dekat oleh salah seorang daripada dua lelaki menaiki motosikal di hadapan sebuah restoran.

Mangsa diserang ketika berada di meja makan di luar premis restoran terbabit sebelum suspek melarikan diri sejurus kejadian.

Empat hari kemudian iaitu pada 17 Jun lalu di Cheras, dua lelaki maut selepas terkena beberapa das tembakan oleh sekumpulan lelaki di hadapan sebuah pusat beli-belah di Jalan Loke Yew.

Dalam kes tembakan di Meru, seorang lelaki tempatan berusia lingkungan 46 tahun ditemui mati dengan kesan tembakan di tempat duduk pemandu sebuah kenderaan pacuan empat roda di Taman Meru Utama.