KUALA LUMPUR - Walaupun pernah diserbu tahun lalu, kegiatan penyelewengan barang kawalan bersubsidi melibatkan gas petroleum cecair (LPG) yang berselindung di sebalik lesen sah di sebuah gudang di Jalan Ipoh, di sini, terbongkar semula pada Selasa.
Ops Gasak itu dijalankan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kuala Lumpur dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) hasil risikan selama sebulan.
Semasa serbuan, terdapat cubaan dua pekerja warga asing untuk meloloskan diri, namun tindakan itu gagal.
“Tolong tuan, saya tahu saya salah. Minta maaf tuan,” rayu seorang pekerja asing selepas cubaannya melarikan diri melalui tingkap tandas dipatahkan oleh pasukan operasi.
Pengarah KPDN Kuala Lumpur, Mohd Sabri Seman berkata, serbuan yang bermula jam 11.20 malam itu berjaya merampas 4,500 tong LPG bernilai lebih RM400,000.
Menurutnya, pemeriksaan awal mendapati gudang berkenaan dijadikan tempat pemindahan (decanting) gas LPG bersubsidi 14 kilogram (kg), yang sepatutnya untuk kegunaan isi rumah, ke dalam tong 50kg bagi kegunaan industri.
“Proses decanting dilakukan pada waktu malam menggunakan ais sebagai kaedah tradisional.
“Kita kesan terdapat pergerakan keluar masuk lori ais sekurang-kurangnya dua kali ke premis terbabit,” katanya kepada pemberita di sini.
Beliau berkata, dipercayai tong gas industri itu kemudian dijual semula ke premis seperti hotel dan kilang.
Tambah Mohd Sabri, KPDN percaya kegiatan terbabit melibatkan kartel dan sindiket yang sama, namun menggunakan nama syarikat serta lokasi yang berbeza sahaja.
“Kita anggarkan ada empat hingga lima syarikat. Mereka (sindiket) akan tukar nama selepas ditangkap dan kita kesan modus operandi ini.
“Lokasi ini pernah diserbu pada Ogos tahun lalu, kemudian sindiket tukar nama syarikat dan beroperasi semula dengan lesen sah sebagai pemborong,” ujarnya.
Jelasnya, dalam serbuan kali ini, dua lelaki warga Bangladesh yang dipercayai menyalahgunakan permit kerja telah diberkas.
“Kita telah kenal pasti pemilik premis iaitu seorang lelaki tempatan dan tindakan akan diambil mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya.