Peniaga tidak patut ambil kesempatan naik harga atas alasan SST – Pakar

Iklan
Laporan Sinar Harian berhubung Ops SST elak manipulasi harga. Mohd Faisol (kanan).

SHAH ALAM - Pelaksanaan semakan kadar dan peluasan skop cukai jualan dan perkhidmatan (SST) seharusnya tidak dijadikan alasan oleh peniaga dan syarikat untuk menaikkan harga barangan dan perkhidmatan secara melampau sehingga menindas pengguna.

Pensyarah Kanan Ekonomi dan Perbankan, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr Mohd Faisol Ibrahim berkata, daripada segi logik ekonomi, struktur harga dan jumlah kenaikan sewajarnya mestilah menyamai margin keuntungan sebelum ini.

Iklan
Iklan

“Jika terdapat peniaga atau syarikat yang mengambil kesempatan di atas kenaikan kadar SST baharu ini dengan menaikkan harga sehingga margin keuntungan yang diperoleh lebih tinggi daripada sebelum ini, maka ini sesuatu yang tidak patut dan dianggap mendiskriminasikan pengguna.

“Apatah lagi pengguna sekarang bukan sahaja berhadapan dengan kenaikan kos sara hidup yang tinggi, tetapi juga kesan rantaian secara tidak langsung SST terhadap kuasa membeli pengguna yang mungkin terjejas,” katanya kepada Sinar Harian.

Iklan

Menurut Mohd Faisol, pihak berkuasa berkaitan perlu melakukan pemantauan dan mengambil tindakan segera agar pasaran barangan dan perkhidmatan kekal stabil tanpa dimanipulasi oleh pihak tertentu yang cuba mengaut keuntungan atas nama SST baharu.

Katanya, walaupun pelaksanaan SST secara asasnya dilihat tidak memberi impak besar kepada pengguna, namun hakikatnya ia mungkin memberi kelebihan kepada peniaga dan syarikat berbanding pengguna akhir.

Iklan

“Ini kerana kemungkinan terdapat peniaga dan syarikat akan menggunakan alasan kenaikan SST sebagai modal untuk menaikkan harga walaupun barangan tersebut tidak termasuk dalam senarai barangan dan perkhidmatan yang dikenakan SST.

“Dalam erti kata lain, pelaksanaan SST secara tidak langsung turut memberi kesan menyeluruh kepada pengguna akhir,” jelas beliau.

Ditanya mengenai margin keuntungan yang munasabah dalam konteks ekonomi Malaysia selepas pelaksanaan cukai baharu itu, beliau menegaskan bahawa ia sepatutnya kekal seperti sebelum kenaikan SST.

“Margin keuntungan mestilah sama dengan kadar margin keuntungan sebelum kenaikan SST walaupun harga barangan dan perkhidmatan terpaksa dinaikkan.

“Jadi, peniaga dan syarikat akan tetap mendapat keuntungan yang sama, tetapi pengguna terpaksa bayar kos yang lebih tinggi untuk mendapatkan jumlah dan kuantiti barangan atau perkhidmatan yang sama,” katanya.

Bagaimanapun, beliau menyarankan agar peniaga bersedia menurunkan margin keuntungan mereka sedikit agar kenaikan harga lebih rendah dan tidak membebankan pengguna secara berlebihan.

“Maka, harga barangan dan perkhidmatan tetap mengalami kenaikan, tetapi dengan kadar yang lebih rendah dan terkawal,” tambahnya.

Mohd Faisol turut mengingatkan pengguna agar berbelanja secara berhemah dan lebih sensitif terhadap sebarang kenaikan harga, sekali gus mengelakkan diri daripada dimanipulasi oleh peniaga yang tidak bertanggungjawab.

Pengguna juga katanya, perlu waspada dan membuat penilaian sendiri terhadap apa jua caj tambahan, agar mereka tidak menjadi mangsa keuntungan cepat pihak tertentu yang menyalahgunakan alasan kenaikan kadar SST.