ISKANDAR Zulkarnain Zainuddin mahu menerapkan elemen berbeza dalam latihan bagi memacu pemain perseorangan wanita negara agar setanding jagoan dunia apabila dijadual memulakan tugas awal Oktober depan.
Jurulatih berusia 34 tahun itu berkata, pengalaman melatih skuad Ireland sebelum ini banyak mengajarnya mengenai kaedah berbeza dalam membina keyakinan serta ketahanan mental pemain.
“Saya gembira untuk kembali ke BAM (Persatuan Badminton Malaysia), kali ini bukan sebagai pemain, tetapi sebagai jurulatih yang bersedia memberi semula kepada badminton Malaysia.
“Ketika di Ireland, saya banyak belajar mengenai pendekatan berbeza dalam latihan dan tuntutan berprestasi tinggi.
“Kini saya mahu membantu pemain perseorangan wanita negara membina keyakinan, menajamkan aspek taktikal serta fizikal mereka dan akhirnya melakar kejayaan di peringkat antarabangsa,” katanya.
Kepulangan bekas pemain negara itu dilihat sebagai langkah segar BAM untuk memberi angin baharu dalam kem perseorangan wanita negara yang memperagakan aksi hambar sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Ketika ini, kem perseorangan wanita hanya memiliki dua pemain, K Letshanaa dan Wong Ling Ching yang bermain secara tetap dalam saingan Jelajah Dunia, namun kebanyakannya pada kejohanan tahap rendah berstatus Super 300.
Sebagai rekod, Iskandar merupakan anggota skuad lelaki negara ketika meraih pingat gangsa pada Sukan Asia Incheon 2014 dan Piala Thomas 2016, selain muncul naib juara Masters Malaysia 2016.
Beliau juga merangkul pingat perak perseorangan lelaki dan berpasukan campuran pada Kejohanan Remaja Dunia 2009.
Sepanjang karier jurulatihnya di Ireland sejak 2021, Iskandar berjaya memacu dua pemain perseorangan, Nhat Nguyen dan Rachael Darragh ke Sukan Olimpik Paris 2024
Ia merupakan satu pencapaian besar buat skuad badminton Ireland.
Dalam pada itu, Pengarah kejurulatihan perseorangan negara, Kenneth Jonassen berkata, kehadiran Iskandar tepat pada masa ketika skuad perseorangan wanita akan melalui dimensi baharu yang lebih dinamik.
“Kami yakin Iskandar mampu memimpin pembangunan perseorangan wanita negara.
“Pengalaman antarabangsa yang dimilikinya bersama latar belakang sebagai bekas pemain negara memberi kombinasi terbaik untuk menggilap potensi mereka,” katanya.
Iskandar dijadual memulakan tugas rasminya di Akademi Badminton Malaysia, Bukit Kiara pada 1 Oktober depan.