Mungkin sudah lumrah di negara kita, setiap kali prosedur operasi standard (SOP) baharu diumumkan, pasti kedengaran kritikan dan bantahan.
Sama juga kesnya apabila Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mahu menguatkuasakan pemakaian tali pinggang keledar terhadap semua penumpang di dalam bas ekspres dan persiaran bermula semalam.
Menurut Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli, semua bas yang dibina selepas 1 Januari 2020 sudah diwajibkan mempunyai tali pinggang keledar di tempat duduk, manakala bas lama diberi masa untuk melengkapkannya. Matlamatnya amat baik, demi keselamatan penumpang.
Bagaimanapun, Pengerusi Persatuan Pengusaha Bas Persiaran Semenanjung Malaysia, Chong Sin Wah tampil memberi reaksi yang sudah dijangka. Katanya, peraturan tidak jelas, membebankan dan mahal.
Menurut beliau, kos untuk satu pemasangan tali pinggang bagi satu kerusi boleh mencecah RM300, didarabkan dengan jumlah kerusi di dalam setiap bas.
Tidak mustahil, isu SOP baharu ini akan terus diperdebatkan dalam kalangan pengusaha bas.
Teringat satu ketika dulu, kerajaan pernah menguatkuasakan pemasangan kotak hitam untuk bas ekspres bagi mengawal had laju. Cadangan pemasangannya diumumkan pada tahun 1998 sebelum dikuatkuasakan pada 2001. Kos pemasangan kotak hitam ialah sekitar RM1,000 bagi setiap bas.
Namun peraturan itu terhenti separuh jalan sebelum dimansuhkan sepenuhnya pada tahun 2004. Puncanya, disebabkan penguatkuasaan longgar selain kekurangan stok bekalan peranti itu sehingga tidak dapat menampung jumlah bas ekspres yang beroperasi seluruh negara.
Peraturan tersebut juga dikatakan tidak diluluskan Parlimen kerana mendapat tentangan industri bas ekspres.
Kini, apabila muncul peraturan tali pinggang keledar, ramai mula tertanya-tanya, adakah ia juga akan berakhir seperti isu kotak hitam dahulu. Ibarat peribahasa 'hangat-hangat tahi ayam'.
Justeru, sekiranya JPJ benar-benar serius, langkah pertama perlu dilakukan ialah kejelasan. Jangan umum dahulu, baru fikirkan SOP. Penguatkuasaan mesti konsisten, kalau tidak ia akan kekal skeptikal. Pengusaha bas tetap akan terus menentang.
Keselamatan bukan soal siapa untung, siapa rugi. Kalau cara JPJ melaksanakannya masih tidak kemas, tidak mustahil isu tali pinggang keledar ini akan menjadi nasib seperti kotak hitam.