PASIR GUDANG - Penternak dan nelayan menggesa feri yang melalui kawasan jeti itu memperlahankan kelajuan bagi menangani masalah ombak besar tersebut.
Ketua Nelayan Kampung Pasir Putih yang juga Ahli Lembaga Pengarah Persatuan Nelayan Zon Selatan, Hamzah Allagittah, 63, berkata, masalah berkenaan sudah berlarutan sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Katanya, biarpun sudah beberapa kali aduan dan cadangan dikemukakan kepada pihak berkaitan, namun sehingga kini ia masih berlanjutan hingga boleh dikatakan mengancam kawasan penternakan kupang berkenaan.
“Kita dah bawa perkara ni kepada pihak yang berkaitan seperti ke Terminal Pasir Gudang dan juga Johor Port, tapi masalah ini masih terus berlaku.
“Kita cuma mahukan agar feri atau bot yang melalui kawasan ini lebih prihatin dengan memperlahankan kelajuan masing-masing.
“Jika dahulu saya difahamkan feri atau bot ini hanya dipandu pada kelajuan 5 hingga 9 knot, tetapi sekarang ada yang kelajuannya hingga 10 hingga 15 knot.
“Mungkin mereka kejar trip, tetapi kena ingat juga kawasan yang dilalui merupakan kawasan nelayan dan ada penternakan yang diusahakan,” katanya.
Nelayan, Faizul Jumaat Ismail, 47, menegaskan, jika kesemua feri yang melalui kawasan tersebut dipandu dengan kelajuan minimum, ombak besar tidak akan berlaku sekali gus mampu memastikan penternakan kupang terpelihara.
“Selama ini terlalu banyak kos yang kami tanggung akibat kerosakan rumah rakit dan ternakan kupang.
“Diharapkan agar pihak terbabit dapat memberikan kerjasama yang sewajarnya, kami di sini pun cari rezeki juga,” ujarnya.