KONFEDERASI Hoki Malaysia (MHC) dilihat memilih jalan selamat apabila tidak meletakkan sebarang sasaran buat skuad Speedy Tigers yang akan mengharungi saingan Piala Asia 2025 di India pada Ogos depan.
Presidennya, Datuk Seri Subahan Kamal enggan meletakkan harapan tinggi buat skuad bimbingan Sarjit Singh itu dalam usaha untuk meraih tiket ke Piala Dunia 2026.
Beliau berkata, fokus utama terarah kepada pusingan kelayakan Piala Dunia awal tahun depan yang menawarkan tujuh slot berbanding hanya satu tiket menerusi Piala Asia.
“Dulu Piala Asia menawarkan empat atau lima slot ke Piala Dunia, tetapi sekarang hanya satu. Jadi tak adil nak letak sasaran tinggi.
"Sasaran kita adalah kelayakan Piala Dunia, bukan melalui Piala Asia,” katanya.
Piala Asia dijadualkan berlangsung di Stadium Hoki Rajgir, Bihar bermula 29 Ogos hingga 7 September depan.
Subahan turut menjelaskan bahawa MHC berminat untuk menawarkan diri sebagai tuan rumah kelayakan Piala Dunia tersebut.
"Kita mahu jadi tuan rumah. Kelayakan itu dijangka berlangsung Februari atau Mac 2026," katanya.
Jika Malaysia gagal muncul juara Piala Asia, mereka hanya berpeluang ke Piala Dunia menerusi pusingan kelayakan.
Sebagai rekod, hanya juara kejohanan benua, juara Liga Profesional 2023/2024 dan 2024/2025 serta tuan rumah Belgium dan Belanda akan layak secara automatik.
Tujuh slot selebihnya akan diisi menerusi pusingan kelayakan, menjadikan keseluruhan 16 pasukan di pentas dunia.
Piala Dunia dijadualkan bermula 15 hingga 30 Ogos 2026.