Ahli Parlimen Bangi gesa gugur siasatan susulan keputusan Mahkamah Persekutuan

Iklan
Laporan Sinar Harian berhubung Mahkamah Persekutuan batal peruntukan jenayah gagal beri notis perhimpunan aman. Gambar kecil: Syahredzan

SHAH ALAM – Semua siasatan yang masih belum diselesaikan berkaitan kegagalan memberikan notis perhimpunan di bawah Seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman 2012 seharusnya digugurkan serta-merta susulan keputusan Mahkamah Persekutuan yang memutuskan keperluan tersebut adalah tidak berperlembagaan.

Ahli Parlimen Bangi, Syahredzan Johan berkata, pendakwa raya juga perlu menarik balik semua pertuduhan yang masih berjalan di mahkamah terhadap mana-mana individu di bawah seksyen berkenaan.

Iklan
Iklan

“Undang-undang yang tidak berperlembagaan tidak sepatutnya dikuatkuasakan oleh mana-mana cabang atau agensi kerajaan. Saya menyambut baik keputusan Mahkamah Persekutuan pagi ini bahawa Seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman adalah tidak berperlembagaan.

“Keputusan hari ini memberikan kejelasan selepas dua keputusan yang bercanggah oleh Mahkamah Rayuan mengenai Seksyen 9(5) APA dalam kes Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad dan R Yuneswaran masing-masing pada tahun 2014 dan 2015,” katanya menerusi hantaran di aplikasi X pada Selasa.

Iklan

Sebelum ini, Mahkamah Persekutuan memutuskan bahawa tindakan menghukum individu yang gagal memaklumkan kepada polis lima hari lebih awal sebelum mengadakan perhimpunan aman adalah bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

Keputusan penting itu dibuat secara sebulat suara oleh panel lima hakim diketuai Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat yang bakal menamatkan perkhidmatan awam pada Selasa.

Iklan

Menurutnya, Seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman 2012 yang memperuntukkan hukuman denda terhadap kegagalan memberikan notis awal merupakan satu bentuk larangan, bukannya sekatan yang dibenarkan mengikut Perkara 10(1)(b) Perlembagaan Persekutuan.

Tambah Syahredzan, beliau merupakan salah seorang peguam yang mewakili kes Nik Nazmi pada tahun 2014 dan pasukannya berhujah serta berjaya di Mahkamah Rayuan.

“Ketika itu, Mahkamah Rayuan memutuskan bahawa Seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman adalah tidak berperlembagaan kerana bertentangan dengan Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan.

“Namun, beberapa bulan kemudian, panel Mahkamah Rayuan yang berbeza membuat keputusan yang bertentangan dan memutuskan bahawa Seksyen 9(5) adalah sah dari segi perlembagaan dalam kes R Yuneswaran,” katanya.

Ujarnya lagi, situasi tersebut telah menimbulkan dua keputusan yang bercanggah di peringkat Mahkamah Rayuan berhubung perlembagaan Seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman dan sebelum keputusan hari ini, belum ada penentuan muktamad daripada Mahkamah Persekutuan mengenai isu tersebut.

“Awal tahun ini, kerajaan melalui pengumuman oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah menyatakan bahawa Akta Perhimpunan Aman akan dipinda dan pada waktu itu beliau menyatakan bahawa pindaan tersebut akan dibentangkan pada sesi Parlimen akan datang (bulan ini).

“Dengan keputusan Mahkamah Persekutuan ini, kerajaan seharusnya mengambil petunjuk daripada alasan penghakiman dan mempertimbangkan pindaan agar undang-undang tersebut selaras dengan prinsip perlembagaan khususnya berkaitan pemberitahuan kepada pihak berkuasa,” katanya.