GEORGE TOWN - Hasil bedah siasat terhadap dua beranak yang ditemui meninggal dunia pada petang Isnin mendapati tiada sebarang kecederaan atau luka pada tubuh kedua-dua mangsa.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Abdul Rozak Muhammad berkata, proses bedah siasat dijalankan pada pagi Selasa di Jabatan Perubatan Forensik, Hospital Pulau Pinang (HPP).
“Hasil bedah siasat mendapati tiada sebarang kecederaan luaran atau luka pada badan kedua-dua mangsa.
"Pemeriksaan dalaman pula menunjukkan pereputan organ tanpa sebarang kesan kecederaan mencurigakan,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Sehubungan itu beliau berkata, kes berkenaan diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).
Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan polis menerima maklumat daripada orang awam kira-kira jam 4.41 petang mengenai bau busuk yang disyaki datang dari sebuah rumah di Jalan Bukit Gambir, di sini.
Sebaik pintu rumah berjaya dibuka dengan bantuan bomba, pemeriksaan mendapati terdapat dua mayat reput iaitu seorang wanita berusia 40 tahun dan seorang kanak-kanak perempuan berusia 2 tahun di bilik utama rumah berkenaan.
Siasatan mendapati mangsa iaitu ibu dan anak berdasarkan dokumen pengenalan diri yang ditemui.