IPOH - Pameran Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA Fair) Perak kembali dengan menawarkan pelbagai pakej pelancongan baharu dan eksklusif di Pusat Konvensyen Ipoh pada 2 dan 3 Ogos depan.
Acara dua hari itu menampilkan lebih 130 reruai pameran yang mewakili lebih 30 pemain utama industri pelancongan dari dalam dan luar negara.
Pengerusi MATTA Fair Perak, Wendy Shin berkata, penganjuran kali ke-35 ini menyasarkan 19,000 pengunjung dengan anggaran jualan mencecah RM24 juta, sekali gus mengukuhkan peranannya dalam merancakkan semula ekonomi pelancongan negara.
"Sebagai acara pelancongan yang diyakini dan berpengaruh, MATTA Fair kekal sebagai platform sehenti bagi urusan tempahan percutian.
"Semua peserta pameran terdiri daripada ejen pelancongan berlesen dan berpengalaman, ini untuk menjamin pengalaman tempahan yang selamat dan terjamin buat pengunjung," katanya dalam sidang akhbar di sini pada Selasa.
Beliau berkata, berbeza dengan tahun-tahun sebelumnya, MATTA Fair kali ini memberi penekanan istimewa terhadap pakej pelancongan domestik sebagai sokongan kepada Kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 dengan mengetengahkan permata tersembunyi serta pengalaman unik di seluruh negara.
Katanya, antara pakej menarik yang ditawarkan termasuk Explore Malaysia iaitu lawatan khas ke destinasi tanah tinggi, pulau tropika, bandar bersejarah dan jelajah kulinari di Semenanjung serta Malaysia Timur.
"Turut ditawarkan Adventure Travel-pengembaraan lasak ke lokasi luar kebiasaan bagi pencinta aktiviti ekstrem serta Customised Local Tours iaitu lawatan tersuai berfokus kepada budaya, kesihatan, alam semula jadi dan warisan tempatan," katanya.
Wendy berkata, bagi yang ingin menjelajah ke luar negara, MATTA Fair Perak 2025 turut menyediakan pakej pelancongan antarabangsa dan percutian mewah menaiki kapal persiaran ke destinasi utama Asia Tenggara serta seperti China, Vietnam, Eropah serta Pakej ke Itali, Perancis, Eropah Timur.
Tambah beliau, satu lagi tarikan utama edisi kali ini ialah kerjasama dengan RHB Bank sebagai rakan bank utama MATTA Fair Perak, membolehkan pengunjung menikmati pelbagai tawaran kewangan eksklusif serta kemudahan pembayaran tanpa tunai sepanjang acara berlangsung.
"Kita turut memberi peluang kepada mana-mana pengunjung yang berbelanja RM100 ke atas layak menyertai cabutan bertuah untuk memenangi baucar pelancongan, tiket penerbangan pergi balik, penginapan hotel, tiket taman tema dan banyak lagi," katanya.
Majlis perasmian akan berlangsung pada 2 Ogos jam 11 pagi oleh Exco Pelancongan, Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor Perak, Loh Sze Yee.
Kemasukan adalah percuma dari jam 10 pagi hingga 9 malam sepanjang dua hari tersebut dan orang ramai boleh mendapatkan sebarang perkembangan lanjut melalui media sosial rasmi MATTA Perak di Facebook dan Instagram @mattaperak.