KUANTAN - Seorang pensyarah mengalami kerugian sebanyak RM294,000 selepas terpedaya dengan sindiket penipuan yang menyamar sebagai pegawai syarikat e-dagang dan pegawai polis.
Lelaki berusia 44 tahun yang menetap di Maran dikatakan menerima panggilan telefon daripada individu, mendakwa dirinya pegawai Lazada, pada 30 April lalu.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, suspek memberitahu kononnya nombor telefon mangsa telah digunakan dalam aktiviti penipuan.
Panggilan itu kemudiannya disambungkan kepada individu lain yang menyamar sebagai pegawai polis dan memaklumkan mangsa terlibat dalam kegiatan pemalsuan dokumen serta pengubahan wang haram.
“Suspek memperdaya mangsa dengan mengatakan dia boleh dikenakan hukuman penjara dan sebatan, menyebabkan mangsa panik,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Yahaya berkata, mangsa kemudian membuat sebanyak 17 transaksi ke 11 akaun bank berbeza melibatkan jumlah keseluruhan RM294,000.
Jelasnya, transaksi itu dibuat melalui perbankan atas talian dan mesin deposit tunai (CDM).
"Suspek turut mengarahkan mangsa untuk melapor diri lima kali sehari melalui telefon, aplikasi WhatsApp dan panggilan video.
“Sumber kewangan bagi transaksi ini melibatkan simpanan peribadi mangsa, simpanan keluarga serta pinjaman daripada pihak bank,” katanya.
Sehubungan itu, Yahaya menasihatkan orang ramai yang menerima panggilan meragukan supaya segera membuat semakan dengan pihak polis atau agensi kerajaan berkaitan bagi mengelakkan menjadi mangsa penipuan.