NSTDP bukan sekadar nama, akar umbi sepak takraw negara

Iklan
Mohd Sumali. Foto Bernama

PROGRAM Pembangunan Sepak Takraw Negara (NSTDP) bukan sekadar kosmetik, sebaliknya akan dilaksana secara serius dan menyeluruh agar sampai ke peringkat akar umbi.

Presiden Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM), Datuk Mohd Sumali Reduan berkata, ia bagi memastikan program tersebut mencapai sasaran bagi mencungkil bakat baharu untuk diketengahkan ke pentas antarabangsa dalam tempoh tertentu.

Iklan
Iklan

Justeru katanya, bagi memastikan ia berjalan dengan berkesan, program tersebut akan dipantau oleh Timbalan dan Naib Presiden PSM, Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan serta Datuk Abu Jimi Samat.

“Program ini kita tak nak nampak pada nama sahaja kerana apa yang penting adalah pelaksanaan dan hasilnya. Kita sering berbincang bagaimana untuk menjayakannya.

Iklan

“Mungkin bukan sekarang (hasil), tetapi dalam tempoh dua, tiga tahun akan datang atau lima tahun, mungkin kita akan nampak,” katanya.

NSTDP dengan kerjasama Majlis Sukan Negara (MSN) dan Kementerian Pendidikan akan menumpukan kepada pencarian bakat di peringkat sekolah melibatkan murid berusia 10 hingga 17 tahun.

Iklan

Mohd Sumali berkata, penekanan akan turut diberikan kepada pembangunan pemain wanita, satu segmen yang diakui masih ketinggalan daripada segi pencapaian.

Tambah beliau, program itu akan disokong oleh jaringan yang kukuh merangkumi sekolah sukan, Pusat Latihan Daerah (PLD) serta pusat pembangunan di peringkat negeri.

“Matlamatnya adalah untuk menghasilkan kesinambungan yang mampu membawa pemain cemerlang terus ke Akademi Sepak Takraw di Kompleks Sukan Kampung Baru.

“Kepercayaan yang diberikan oleh MSN dan KBS (Kementerian Belia dan Sukan) merupakan satu amanah besar. Jika kita berjaya laksanakan dengan baik, tidak mustahil kita akan menerima sokongan yang lebih besar pada masa hadapan,” ujar Mohd Sumali.