Kematian dua beranak diklasifikasi mati mengejut

Iklan
Laporan Sinar Harian berhubung penemuan mayat ibu dan anak di sebuah unit pangsapuri di Jalan Bukit Gambir, George Town pada petang Isnin.

GEORGE TOWN - Polis mengesahkan kematian seorang wanita dan anak perempuannya yang ditemukan dalam keadaan reput di sebuah unit pangsapuri di Jalan Bukit Gambir, di sini petang Isnin, sebagai kes mati mengejut (SDR).

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Abdul Rozak Muhammad berkata, pihaknya menerima maklumat daripada orang awam kira-kira jam 4.41 petang mengenai bau busuk yang disyaki datang dari sebuah rumah di kawasan berkenaan.

Iklan
Iklan

Menurutnya, sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut bersama anggota Balai Polis Sungai Nibong dengan bantuan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) telah bergegas ke lokasi kejadian.

“Sebaik pintu rumah berjaya dibuka dengan bantuan bomba, pemeriksaan mendapati terdapat dua mayat reput iaitu seorang wanita dan seorang kanak-kanak perempuan di bilik utama rumah berkenaan.

Iklan

“Siasatan awal mendapati mangsa masing-masing berusia 40 dan dua tahun. Mereka dipercayai mempunyai hubungan ibu dan anak berdasarkan dokumen pengenalan diri yang ditemukan,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Tambah beliau, pasukan dari Unit Forensik Hospital Pulau Pinang (HPP) dan Pasukan Siasatan Forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang turut dipanggil ke lokasi bagi membantu siasatan.

Iklan

“Kedua-dua mayat telah dihantar ke Jabatan Forensik HPP untuk proses bedah siasat.

"Buat masa ini, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut sementara menunggu laporan penuh bedah siasat,” katanya.

Abdul Rozak menambah, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes tersebut diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi balai polis berhampiran.