KUALA LUMPUR - Karnival Rasa Asli Desa anjuran Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) membuka peluang kepada usahawan desa dalam mempromosi dan mengembangkan pasaran produk dengan lebih meluas.
Pengerusi RISDA, Manndzri Nasib berkata, karnival yang diadakan pada 27 hingga 30 Jun ini mengangkat tema 'Rasa Tulen, Sentuhan Istimewa', menampilkan 60 produk termasuk makanan tradisional daripada 13 negeri ke tengah ibu kota sebagai salah satu cara meraikan keunikan produk tempatan.
Menurutnya, inisiatif itu sejajar dengan hasrat Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) yang mahu menyediakan lebih banyak ruang kepada usahawan kecil dan sederhana untuk mengembangkan pasaran mereka.
"Karnival kali ini kita himpunkan seramai 28 usahawan bimbingan RISDA daripada setiap negeri dalam segmentasi makanan sahaja, manakala produk lain seperti kraftangan, jahitan dan hasil kilang tidak disertakan dalam edisi ini mengikut kesesuaian tema program.
"Inisiatif juga memang dirangka bagi tujuan promosi makanan desa ke bandar. Jadi, karnival ini menjadi satu peluang terutama buat usahawan RISDA untuk mengetengahkan produk makanan mereka ke pasaran yang lebih luas dan dalam masa sama mampu meningkatkan jualan mereka.
"Ia juga bertindak sebagai pentas awal kepada program jelajah berskala besar akan datang, dan karnival kali ini dianggap sederhana tetapi tetap signifikan dalam menunjukkan kemampuan sebenar usahawan desa," katanya ketika ditemui selepas perasmian karnival berkenaan pada Jumaat.
Karnival Rasa Asli Desa RISDA 2025 ini telah dirasmikan oleh Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang pada Jumaat lepas di pekarangan parkir Wangsa Walk Mall, Wangsa Maju dan turut dihadiri oleh Timbalan Ketua Setiausaha KKDW, Meor Ismail Meor Akim dan Ketua Pengarah RISDA, Zainal Azni Zulkifli.
Antara sajian menarik dihidangkan kepada pengunjung di karnival berkenaan termasuk rendang maman, nasi goreng ikan terubuk masin, kelupis inti udang, pekasam ikan loma, pek nga, gulai temenung, burasak dan kuih-muih tradisional.
Mengulas lanjut, Manndzri berkata, karnival itu turut berfungsi sebagai platform pemadanan perniagaan yang membuka peluang kepada pemborong, pengedar dan rakan niaga untuk mengenal pasti variasi produk desa yang berpotensi tinggi untuk dikomersialkan secara meluas.
"Pendekatan ini mencerminkan kebolehlaksanaan produk luar bandar bagi memenuhi cita rasa pasaran moden dan menembusi jaringan runcit arus perdana serta membentuk persepsi baharu terhadap keupayaan usahawan luar bandar.
"Selain itu, kami turut merancang untuk menganjurkan karnival yang lebih besar dengan penyertaan sekurang-kurangnya 100 usahawan pekebun kecil dari seluruh negara pada masa depan yang secara signifikan mampu meluaskan pasaran produk mereka.
"Usaha ini juga bagi memperkenalkan RISDA kepada seluruh masyarakat kerana ada segelintir mereka yang hanya tahu RISDA mengenai getah sahaja, tetapi sebenarnya kita ada beribu usahawan mikro di bawah RISDA dan inilah cara kita mahu menonjolkan mereka," ujarnya.