KDEBWM perkenal imej baharu, tambah aset logistik

Iklan
Majlis pelancaran disempurnakan Ramli bersama Mohd Hasry di Ibu Pejabat MPKL di Kuala Langat pada Isnin. Foto Asril Aswandi Abd Shukor

KUALA LANGAT – KDEB Waste Management (KDEBWM) melakar satu lagi pencapaian penting menerusi pelancaran imej korporat baharu serta penambahan aset logistik sebagai simbolik kepada pembaharuan kontrak perkhidmatan kutipan sisa domestik bersama Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL), bermula 1 Julai ini.

Majlis pelancaran disempurnakan Pengarah Urusan KDEBWM, Datuk Ramli Mohd Tahir bersama Yang Dipertua MPKL, Mohd Hasry Nor Mohd di Ibu Pejabat MPKL di sini pada Isnin.

Iklan
Iklan

Seiring pelancaran itu, KDEBWM memperkenalkan 28 lori baharu yang terdiri daripada 25 unit lori kompaktor bersaiz 19 tan, dua unit mini kompaktor 7.5 tan dan sebuah lori arm roll khas untuk kutipan sampah di Pasar Banting.

Menurut Ramli, langkah ini merupakan permulaan fasa baharu dalam usaha meningkatkan kecekapan sistem kutipan sisa, selain menandakan kesinambungan hubungan strategik antara KDEBWM dan MPKL yang telah terjalin sejak 2018.

Iklan

Majlis pelancaran diadakan di Ibu Pejabat MPKL di sini pada Isnin. Foto Asril Aswandi Abd Shukor

“Kita sekarang kendalikan 27 zon perkhidmatan berbanding hanya 15 zon ketika mula beroperasi dahulu. Ini menunjukkan pertumbuhan pesat Kuala Langat yang semakin menjadi tumpuan penduduk,” ujarnya.

Iklan

Ramli turut menjelaskan, pengenalan imej baharu ini selari dengan komitmen KDEBWM terhadap prinsip Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) serta amalan kelestarian jangka panjang.

“Dari segi visual dan identiti korporat, pembaharuan ini mencerminkan transformasi KDEBWM ke arah pengurusan sisa moden dan mampan,” ujarnya lagi.

Penambahan aset dan pendekatan baharu ini dijangka mempertingkat keberkesanan operasi termasuk di kawasan kampung tradisi dan tanah gambut yang mempunyai cabaran tersendiri dari aspek geografi dan corak pembangunan perumahan.

Tambah Ramli, antara cabaran utama di Kuala Langat termasuk kawasan kampung yang berselerak, keadaan tanah lot dan paya, serta kewujudan lokasi pembuangan sampah haram oleh pihak tidak bertanggungjawab.

Ramli (tiga kanan) bersama Mohd Hasry (kiri) menyempurnakan pelepasan lori kompaktor simbolik merasmikan majlis. - Foto Asril Aswandi Abd Shukor

“Namun kita terus komited mengatasi cabaran ini dengan pelbagai inisiatif termasuk penggunaan teknologi pintar seperti sistem pemantauan berasaskan Internet Benda (IoT) dan kecerdasan buatan (AI), yang membantu menjimatkan kos serta memantau operasi secara menyeluruh,” ujarnya.

KDEBWM turut melaksanakan projek perintis cucian kenderaan elektrik (EV) di kawasan industri Shah Alam, sebagai sebahagian agenda kelestarian syarikat.

Dalam aspek pembangunan modal insan, KDEBWM sedang memperluaskan program latihan teknikal dan pensijilan profesional selaras dengan Dasar Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Negara, bagi melahirkan tenaga kerja mahir tempatan dalam bidang pengurusan sisa.

KDEBWM juga memperkukuh penglibatan masyarakat melalui pelaksanaan program kitar semula, literasi sisa dan kempen kesedaran bersama MPKL.

KDEBWM merakamkan penghargaan kepada MPKL, khususnya Yang Dipertua MPKL serta petugas lapangan atas sokongan berterusan dalam menjayakan misi pengurusan sisa secara efisien.

“Dengan semangat dan imej baharu ini, kami komited untuk terus membina ekosistem pengurusan sisa yang moden, cekap dan lestari demi kesejahteraan rakyat serta kelestarian alam sekitar di negeri Selangor,” katanya.