JKKN martabatkan seni persembahan tradisional

Iklan
Persembahan opera Cina Kantonis bertajuk Irama Lingnan yang dipentaskan oleh Persatuan Pat Woh Malaysia di Dewan Tunku Abdul Rahman, Pusat Pelancongan Malaysia (MaTiC), di sini pada 28 dan 29 Jun.

KUALA LUMPUR - Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) melalui Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) memartabatkan kembali seni persembahan tradisional pelbagai kaum di Malaysia menerusi Panggung Seni Tradisional 2025 (PST2025).

Timbalan Pengarah Cawangan Penyelidikan dan Pembangunan JKKN, Rohaniza Abdullah berkata, pementasan opera Cina Kantonis bertajuk Irama Lingnan merupakan antara seni persembahan yang diketengahkan dalam PST2025 bagi menyemarakkan teater tradisional sebagai medium memperkukuh perpaduan dan kefahaman antara kaum.

Iklan
Iklan

Menurutnya, persembahan tersebut bukan sekadar berbentuk hiburan, namun pendidikan budaya yang mampu memberi pendedahan kepada masyarakat umum khususnya golongan muda mengenai keunikan dan nilai sejarah dalam seni persembahan kaum Cina.

"Ia bukan hanya persembahan muzik dan tarian tetapi satu bentuk teater tradisional unik menggabungkan elemen lakonan, nyanyian, tarian, muzik, seni mempertahankan diri dan akrobatik yang dipercayai wujud lebih dari 2,000 tahun dengan lebih 300 sub-gebre bergantung kepada wilayah di China.

Iklan

"Ini merupakan salah satu usaha dalam membangkitkan semula minat atau memperkenalkan seni opera Cina yang kaya dengan unsur dramatik bersama lenggok nyanyian penuh emosi bagi membawa penonton menyelami konflik jiwa watak tersebut.

ROHANIZA

Iklan

"Secara tidak langsung, persembahan seumpama ini dapat membuka ruang kepada masyarakat untuk lebih mendekati dan menghargai keindahan seni klasik kaum Cina yang semakin jarang dipentaskan secara langsung di negara ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas persembahan opera Cina Kantonis bertajuk Irama Lingnan di Dewan Tunku Abdul Rahman, Pusat Pelancongan Malaysia (MaTiC), di sini pada Sabtu.

Hadir sama, Timbalan Pengarah Cawangan Perancangan dan Penyelarasan Dasar, Bahagian Dasar dan Penyelidikan JKKN, Marina Abu Bakar; Pengerusi Majlis Kebudayaan Negara, Tan Sri Norliza Rofli serta Ahli Majlis Kebudayaan Negara, Datuk Goh Hin San.

Untuk rekod, Irama Lingnan merupakan persembahan siri kedua PST2025 yang dipentaskan selama dua hari iaitu pada 28 dan 29 Jun oleh Persatuan Pat Woh Malaysia.

Mengulas lanjut, Rohaniza berkata, pementasan teater itu mendapat sambutan menggalakkan daripada pelbagai lapisan masyarakat.

Sementara itu, pelakon dan komuniti Persatuan Pat Woh Malaysia, Rachel Yong Ten Tyng berkata, opera Kantonis merupakan antara seni tradisional yang paling popular di wilayah Guangdong, Hong Kong dan Malaysia, namun ia semakin kurang mendapat tempat dalam kalangan generasi muda kini.

"Kalau bercakap mengenai opera, kita banyak mengaitkan dengan orang tua sahaja dan sebenarnya ia semakin dilupakan. Jadi, persembahan seumpama ini dapat memperkenalkan semula seni tradisional ini kepada orang ramai khususnya golongan muda,” katanya.