KUALA LANGAT – Program Retromania Grand Gathering 'Back to Morib' 2025 yang berlangsung selama dua hari di Dataran Pantai Morib berakhir dalam keadaan terkawal tanpa sebarang insiden tidak diingini.
Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintenden Mohd Akmalrizal Radzi berkata, program yang menghimpunkan peminat motosikal retro dari dalam dan luar negara itu mendapat kerjasama penuh daripada pengunjung serta penganjur sepanjang acara berlangsung.
Beliau berkata, pihaknya merakamkan penghargaan kepada Pejabat Daerah Kuala Langat dan Majlis Perbandaran Kuala Langat atas kejayaan menganjurkan program tersebut.
"Tiada kejadian jenayah, perlumbaan haram atau gangguan ketenteraman awam dilaporkan.
"Pengunjung juga peka terhadap sensitiviti penduduk setempat dan memberikan kerjasama yang sangat baik kepada pihak polis," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Menurutnya, acara selama dua hari itu menarik kehadiran lebih 30,000 pengunjung dan menampilkan lebih 600 buah motosikal klasik serta pelbagai pameran barangan retro yang memaparkan budaya era 70-an hingga 90-an.
Katanya, program turut dimeriahkan dengan persembahan artis tempatan, pameran, aktiviti santai serta peluang perniagaan kepada usahawan kecil dan sederhana, sekali gus merancakkan aliran ekonomi setempat.
Mohd Akmalrizal berkata, himpunan itu mencipta ruang positif kepada peminat motosikal pelbagai generasi untuk beriadah dan memperkukuh silaturahim dengan mematuhi undang-undang serta mengutamakan aspek keselamatan jalan raya.
"Pihak polis turut menasihati semua pengunjung agar memastikan kenderaan masing-masing berada dalam keadaan baik.
"Selain itu, dapatkan rehat mencukupi sebelum pulang ke destinasi masing-masing, terutama yang datang dari selatan dan Pantai Timur," katanya.
Beliau berharap pengunjung berpuas hati serta membawa pulang kenangan indah selaras dengan tema Tahun Melawat Selangor 2025 iaitu Surprising Selangor.