Integriti perlu dibudayakan, bukan sekadar penguatkuasaan – KSN

Iklan
Shamsul Azri

KAJANG – Nilai integriti tidak boleh diperkukuh hanya melalui penguatkuasaan undang-undang semata-mata, sebaliknya perlu diterapkan menerusi pendidikan agar menjadi budaya dalam kalangan masyarakat.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar berkata, usaha tersebut penting bagi melahirkan komuniti yang berintegriti serta membentuk sebuah negara yang menjunjung nilai-nilai integriti.

Iklan
Iklan

“Pengukuhan integriti dalam kalangan penjawat awam bermula daripada peringkat individu yang melaksanakan perkara yang betul dan kemudian membudayakannya.

“Pembudayaan integriti bukanlah inisiatif sekali jalan, tetapi memerlukan usaha dan komitmen berterusan secara konsisten,” katanya selepas menghadiri Program Menembak Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Lapang Sasar Maktab Penjara Malaysia, di sini pada Ahad.

Iklan

Shamsul Azri ketika menghadiri Program Menembak Ketua Pesuruhjaya SPRM di Lapang Sasar Maktab Penjara Malaysia pada Ahad.

Mengulas mengenai penganjuran program tersebut, beliau menekankan kepentingan keseimbangan antara kerja dan aktiviti sukan sebagai elemen utama bagi meningkatkan kesiapsiagaan mental dan fizikal.

Iklan

Katanya, aktiviti seperti menembak bukan sahaja membantu meningkatkan kemahiran mempertahankan diri, fokus dan disiplin, malah menyumbang kepada kesihatan menyeluruh penjawat awam agar dapat menjalankan tugas dengan lebih optimum.

Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, sokongan Ketua Setiausaha Negara sebagai Ketua Perkhidmatan amat penting dalam merealisasikan agenda antirasuah dan pemerkasaan integriti.

“Ketua Setiausaha Negara telah memperkenalkan dasar yang lebih jelas dalam meningkatkan tahap integriti dan kecemerlangan penyampaian perkhidmatan awam.

“SPRM sentiasa menyokong segala usaha yang dilaksanakan dan berganding bahu dalam menganjurkan kursus serta program bagi memperkukuh integriti penjawat awam,” katanya.

Turut hadir pada program itu, Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar; Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya; dan Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Datuk Azmi Kamaruzaman.

Hadir sama, Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam, Polis Diraja Malaysia, Datuk Seri Azmi Abu Kassim; Timbalan Komisioner Jeneral Penjara (Keselamatan dan Koreksional), Datuk Ibrisam Abdul Rahman serta pengarah-pengarah kanan dan pengarah bahagian SPRM.