RAUB - Biarpun terpaksa berdepan arus deras, seramai 130 peserta berjaya menamatkan cabaran mengharung sungai sejauh tiga kilometer (km) sambil menjala sempena Pesta Menjala Sungai Dong 2025 di sini pada Ahad.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dong, Fadzli Mohamad Kamal antara peserta yang turut mengambil bahagian dalam pesta yang julung kalinya diadakan di DUN terbabit yang disertai penduduk berusia 16 hingga 70 tahun.
"Saya gembira kerana pelbagai peringkat usia menyertainya dan berjaya menamatkan cabaran kali ini.
"Banyak hasil tangkapan khazanah ikan sungai dengan pelbagai spesies seperti sia, tilan dan saya dapat baung malah ada dapat kenerak dan lain-lain," katanya.
Beliau yang Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Pahang ditemui pemberita selepas menamatkan cabaran tersebut.
Fadzli berjaya menaikkan hasil tangkapan seberat 0.75 kilogram sekali gus menduduki tempat ke-7 keseluruhan.
Ujarnya, pesta tersebut bukan sekadar pertandingan sebaliknya dapat mengimbau semula peranan Sungai Dong terhadap penduduk dalam pelbagai urusan kehidupan seharian termasuk keluarganya sebelum ini.
"Rupanya ada ramai peserta teringat kesukaran ibu bapa dulu-dulu yang mendapat manfaat menerusi Sungai Dong.
"Saya juga nak galakkan anak muda khususnya mencintai sungai dan sebab itu saya melibatkan pelbagai agensi.
"Paling penting pejabat perikanan yang turun padang melepaskan kira-kira 50,000 ikan terdiri daripada anak ikan dan ikan seperti baung, kelah dan jelawat di sungai," jelasnya.
Dalam pada itu, beliau juga meminta kerjasama masyarakat supaya jika mengesan aktiviti haram seperti menggunakan arus elektrik di sungai supaya segera melaporkan kepada pihak berkuasa.
Tambahnya, pertandingan itu juga akan dijadikan sebagai acara tahunan membabitkan lokasi lain selepas ini.
Sementara itu, juara pertandingan, Almazeni Abdullah, 44, dari Kampung Sungai Lar di sini bersyukur dengan kemenangan tersebut selepas terpaksa mengharungi arus deras dari permulaan di Jambatan Sungai Kerak hingga ke penamat, Jambatan Sungai Dong.
"Ini kali pertama saya sertainya dan memang kena guna banyak tenaga untuk sampai ke penamat," kata peniaga sayur itu lagi.
Alzemi berjaya membawa pulang hadiah wang tunai RM1,500 dan turut meraih RM100 selepas muncul juara ikan paling berat menerusi baung seberat 0.66 kilogram.