KUANTAN – Seorang remaja perempuan dilaporkan hilang selepas dipercayai berhenti kerja di sebuah pusat beli-belah di sini sejak lebih seminggu lalu.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, mangsa, Nuraisya Natasha Abdul Muhaimin, 16, kali terakhir dapat dihubungi oleh ahli keluarganya pada 18 Jun.
Menurutnya, laporan polis telah dibuat oleh ibu mangsa yang berusia 43 tahun pada Sabtu, selepas mendapati anak keduanya itu gagal dihubungi dan tidak pulang ke rumah mereka di Lorong Sri Teruntum di sini.
“Ibu mangsa memaklumkan bahawa pada 24 Mei lalu, anaknya memberitahu mahu keluar rumah untuk tinggal di asrama dan bekerja di sebuah pusat beli-belah di sini.
“Namun, pada 28 Jun, pengadu telah pergi ke tempat kerja anaknya dan dimaklumkan oleh majikan bahawa remaja itu telah berhenti kerja,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Wan Mohd Zahari berkata, Nuraisya Natasha sebelum ini bersekolah sehingga Tingkatan Tiga, sebelum berhenti dan melakukan pelbagai pekerjaan dengan alasan ingin membantu keluarga.
Pekerjaan terakhir mangsa adalah sebagai jurujual jam tangan dan dia tinggal di sebuah bilik sewa di kawasan bandar ini.
“Siasatan awal mendapati mangsa sering tidak hadir bekerja dan kerap ponteng sehingga akhirnya berhenti.
“Tiada sebarang masalah antara keluarga dan mangsa sebelum kehilangannya,” katanya.
Tambah beliau, kes diklasifikasikan sebagai orang hilang dan usaha mengesan remaja itu sedang giat dijalankan.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai Nuraisya Natasha diminta menghubungi balai polis berhampiran bagi membantu siasatan,” katanya.