'Tak sangka dapat anugerah selepas 52 tahun jadi imam’

Iklan
Mat Saman menunjukkan trofi dan replika cek yang diperolehnya selepas terpilih menerima Anugerah Tokoh Imam Mithali Program Jelajah Madani Ulama dan Umara Zon Timur bersempena Karnival Al-Falah Madani Indera Mahkota Pahang di Masjid Beserah di Kuantan pada Sabtu. Foto Sinar Harian.

KUANTAN – Selepas lebih lima dekad menabur bakti dalam bidang keagamaan, seorang imam dari Kuala Lipis menerima Anugerah Tokoh Imam Mithali pada Sabtu.

Mat Saman Mat Dahan, 75, yang juga imam tetap Masjid Kampung Melaka, Kuala Lipis, tidak menyangka sama sekali akan menerima anugerah itu kerana dimaklumkan hanya dua hari sebelum majlis berlangsung.

Iklan
Iklan

“Saya memang tidak sangka langsung sebab tiba-tiba sahaja dimaklumkan akan terima anugerah.

“Tapi saya rasa sangat dihargai dengan pengiktirafan ini kerana sepanjang saya berkhidmat selama 52 tahun sebagai imam,” katanya.

Iklan

Mohd Naim menyerahkan replika cek kemenangan kepada Mat Saman selepas dipilih sebagai penerima Anugerah Tokoh Imam Mithali Program Jelajah Madani Ulama dan Umara (JMUU) Zon Timur bersempena Karnival Al-Falah Madani Indera Mahkota Pahang di Masjid Beserah di Kuantan pada Sabtu. Foto Sinar Harian.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Program Jelajah Madani Ulama dan Umara (JMUU) Zon Timur bersempena Karnival Al-Falah Madani Indera Mahkota Pahang di Masjid Beserah di sini pada Sabtu.

Iklan

Mat Saman merupakan antara sembilan penerima yang dipilih untuk kategori Anugerah Tokoh Imam Mithali, Anugerah Tokoh Guru Takmir Mithali dan Anugerah Tokoh Guru KAFA Mithali bagi negeri Pahang, Kelantan dan Terengganu.

Setiap penerima menerima hadiah berupa wang tunai sebanyak RM1,000 seorang serta sijil penghargaan.

Anugerah itu disampaikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Naim Mokhtar selepas merasmikan program berkenaan.

Mat Saman yang mempunyai lebih 20 orang cucu dan 10 cicit berkata, beliau tidak pernah mengharapkan sebarang balasan atau pengiktirafan.

“Saya cuma buat kerana ALLAH dan untuk membantu masyarakat setempat,” katanya ringkas.

Sementara itu, Mohd Naim berkata, penganugerahan tersebut diharap dapat menyuntik semangat kepada para murabbi ummah untuk terus gigih mendidik dan membimbing masyarakat.

Katanya, bersempena ketibaan tahun baharu 1447 Hijrah, semua pihak perlu bersama-sama berdoa agar penganjuran program seperti itu dapat menterjemahkan semangat kesatuan para penggerak dakwah demi kemaslahatan umat Islam.

“Semoga usaha kita ini sentiasa diberkati dan dipermudahkan oleh ALLAH SWT.

“Saya merakamkan ucapan tahniah kepada seluruh agensi di Pahang, Kelantan dan Terengganu yang bekerjasama erat dalam menjayakan program berkenaan,” katanya.