BESUT – Seorang pelajar Tingkatan Empat lemas ketika cuba mengambil mata pancing jenis casting yang tersangkut dalam kejadian di Sungai Kampung Amir di sini, malam Jumaat.
Mangsa, Muhammad Amin Asyraf Zulkifli, 16, ditemukan kira-kira jam 9.09 malam, iaitu tiga jam selepas dilaporkan hilang, dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Komander Operasi Kanan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu, Timbalan Penguasa Bomba II Baharum Muhamad Hasim berkata, kejadian berlaku ketika mangsa memancing bersama abang dan seorang rakan.
“Difahamkan mangsa telah berenang ke seberang sungai untuk mengambil mata casting miliknya yang tersangkut sebelum dilihat tenggelam ke dasar sungai.
“Abang mangsa cuba menyelamatkan adiknya namun gagal sebelum menghubungi bomba bagi mendapatkan bantuan,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian pada Jumaat.
Menurutnya, operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang dilancarkan berjaya menemukan mayat mangsa pada jarak kira-kira 14 meter dari tebing sungai di kedalaman lebih kurang lapan meter.
Jelas beliau, operasi melibatkan seramai 41 anggota termasuk daripada JBPM, polis dan penduduk kampung itu ditamatkan sekitar jam 10 malam.
“Mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” ujarnya.