Kerajaan pergiat kempen makan buah-buahan tempatan - Mat Sabu

Iklan
Mohamad (tiga dari kanan) ketika sidang akhbar selepas merasmikan Hari Nanas Malaysia di Plaza Angsana, pada Jumaat.

JOHOR BAHRU – Kerajaan akan terus mempergiatkan semula kempen makan buah-buahan tempatan sebagai usaha mengurangkan kebergantungan kepada buah import, selain membantu meningkatkan pendapatan petani di seluruh negara.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, semua agensi kerajaan Persekutuan dan negeri digalakkan menyediakan buah-buahan tempatan dalam setiap hidangan yang disediakan bagi majlis rasmi.

Iklan
Iklan

“Kerajaan memang galakkan makan buah-buahan tempatan. Kalau hidangan rasmi kerajaan, kita minta sajikan buah-buahan tempatan.

"Hendak makan ceri import di luar, tiada masalah tapi untuk acara kerajaan, kita utamakan hasil tempatan bagi membantu para petani kita,” katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Hari Nanas Malaysia di Plaza Angsana, di sini pada Jumaat.

Mohamad (tengah) merasmikan Hari Nanas Malaysia di Plaza Angsana Johor Bahru.

Iklan

Mohamad berkata, kempen makan buah-buahan tempatan akan dilancarkan secara rasmi pada 5 Julai ini di Tawau, Sabah, sebelum diteruskan ke negeri-negeri lain.

Mengulas lanjut, beliau berkata, pelbagai buah-buahan seperti nanas, durian, nangka dan avocado tempatan mempunyai potensi besar bukan hanya untuk pasaran domestik malah eksport.

“Baru-baru ini, Timbalan Menteri bawa avocado yang sangat besar dan cantik, ditanam di Keningau, Sabah.

"Kita harap ia juga akan jadi antara buah tempatan yang boleh dieksport tidak lama lagi,” katanya.

Pada 20 Jun lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan semua jabatan kerajaan untuk tidak menggunakan barangan import, terutamanya makanan, dalam acara rasmi bagi menggalakkan penggunaan produk tempatan.

Beliau berkata, penggunaan bahan tempatan dalam acara kerajaan bukan sahaja menyokong ekonomi negara, tetapi turut memberi peluang lebih luas kepada petani tempatan untuk memasarkan hasil mereka.

Sementara itu, beliau turut memuji kejayaan Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM) dalam meningkatkan pengeluaran nanas negara sehingga melepasi RM1 bilion.

"Johor kekal sebagai pengeluar nanas utama negara, dengan kawasan tanaman yang subur sejak dahulu lagi.

“Johor memang sejak dahulu lagi merupakan pengeluar utama. Namun negeri-negeri lain juga kini giat bersaing, khasnya Sarawak yang sedang membuka ladang-ladang baharu secara intensif,” katanya.

Dalam ucapannya, Mohamad turut berkongsi perkembangan varieti baharu nanas dikenali Sarawak Gold 1 (SG1) yang diperoleh hasil kajian dan penanaman di Kampung Sungai Tukau, Miri, Sarawak.

“SG1 ini tahan penyakit dan boleh dituai dalam tempoh kurang setahun. Biasanya nanas ambil masa 12 hingga 14 bulan, tapi varieti ini kurang dari setahun. Kita sudah mula bawa masuk satu juta benih ke Semenanjung.

"SG1 kini dalam peringkat awal pengembangan, dan dijangka akan memperkukuh lagi sumbangan sektor nanas kepada ekonomi negara," katanya.