TASEK GELUGOR – Sebuah rumah dua tingkat jenis separa kekal di Kampung Pokok Tampang di sini musnah hampir 90 peratus dalam satu kejadian kebakaran pada petang Jumaat.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, John Sagun Francis berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada jam 1.46 petang.
Menurutnya, jentera pertama dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tasek Gelugor tiba di lokasi kira-kira lapan minit kemudian.
“Kebakaran melibatkan sebuah unit rumah dua tingkat berkeluasan kira-kira 20 x 40 kaki persegi dan api berjaya dikawal sepenuhnya pada jam 2.12 petang.
“Tiada mangsa terlibat dalam kejadian ini dan kebakaran berjaya dipadamkan sepenuhnya. Pasukan kemudian menjalankan kerja-kerja ‘overhaul’ bagi memastikan tiada unsur bahaya lain,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Tambahnya, operasi yang turut dibantu anggota dari BBP Kepala Batas tamat pada jam 3.12 petang.
“Seramai 16 anggota termasuk pegawai penyelia terlibat dalam operasi tersebut dengan kekuatan empat jentera termasuk dua jentera FRT dan dua unit Pasukan Perkhidmatan Penyelamatan Perawatan Kecemasan (EMRS).
“Antara agensi lain yang turut memberi bantuan ialah polis dan Tenaga Nasional Berhad (TNB), manakala Pasukan Penyelidikan dan Siasatan (FIO) JBPM akan menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti punca kebakaran,” katanya.