ALOR SETAR - Penyelidik arkeologi Sungai Batu, Lembah Bujang, Profesor Datuk Dr Mokhtar Saidin dinobatkan sebagai Tokoh Maal Hijrah 1447H peringkat negeri Kedah pada Jumaat.
Mokhtar, 62, tidak menyangka menerima anugerah berkenaan berikutan kebiasaan Tokoh Maal Hijrah diberikan kepada tokoh agamawan, berbanding ilmuwan sejarah.
“Apabila dimaklumkan mengenai anugerah ini, ia di luar dugaan kerana biasanya tokoh-tokoh ini merupakan agamawan.
“Ini kali pertama pengiktirafan diberikan kepada ahli akademik dalam bidang arkeologi dan sejarah, saya rasa ia sesuatu yang sangat baik untuk negeri dan negara,” katanya ketika ditemui selepas sambutan Maal Hijrah peringkat negeri di Wisma Darul Aman.
Majlis penyampaian anugerah disempurnakan oleh Sultan Kedah, Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah.
Mokhtar merupakan perintis kepada penemuan Tamadun Kedah Tua yang bertapak di Sungai Batu sejak kurun ke-8 Sebelum Masihi, menjadikan beliau antara tokoh akademik berjasa besar dalam mengangkat warisan sejarah negeri dan negara.
Anak kelahiran Kampung Bukit Pekan, Kampar, Perak ini memulakan pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Pekan sebelum melanjutkan pelajaran di Sekolah Menengah Anglo-Chinese, Ipoh sebelum menyambung pengajian di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan seterusnya di Universiti Sains Malaysia (USM) dalam bidang Geologi dan Arkeologi.
Beliau kemudian menamatkan pengajian di peringkat Sarjana dan Doktor Falsafah dalam bidang arkeologi di USM, dan menunjukkan komitmen mendalam membangunkan ilmu arkeologi terutamanya berkaitan sejarah dan ketamadunan di rantau ini.
Mokthar menyifatkan anugerah yang diterima memberi signifikan penting kerana ilmu adalah asas kepada kemajuan negara dan pembentukan keperibadian rakyat.
“Tanpa pengiktirafan sebegini, pendekatan untuk mengiktiraf cendekiawan dalam pelbagai bidang akan berkurangan,” katanya.
Dalam pada itu, bapa kepada empat anak ini memaklumkan, usaha untuk membangunkan Sungai Batu masih diteruskan agar ia menjadi produk warisan supaya rakyat dapat memahami jati diri negeri dan negara.
“Kita juga berusaha untuk menjadikan tapak tersebut sebagai sumber pendapatan kepada Kedah. Banyak negara sudah bangunkan dan komersialkan tapak-tapak warisan sebegini sebagai sumber ekonomi,” ujarnya.
Menurutnya lagi, usaha sedang dibuat untuk menghasilkan penerbitan berimpak tinggi mengenai Sungai Batu di peringkat global.
“Kita berjaya membuktikan kepada dunia seperti disebut Al-Kindi (801-873) bahawa besi terbaik dunia datang daripada Kalah, nama bagi negeri Kedah pada waktu itu, dan Al-Biruni (973-1050) bahawa besi di Yemen dan Hindi adalah berasal dari Kalah.
“Dalam tempoh dua hingga tiga tahun akan datang, lebih banyak data hebat mengenai Sungai Batu akan dapat dibentangkan kepada dunia,” katanya yang aktif mendidik pelajar dalam bidang tamadun dan sejarah serta memberikan ceramah motivasi kepada pelbagai agensi.
Mokhtar mula terlibat dalam penyelidikan arkeologi di tapak Sungai Batu selepas menerima permintaan khas daripada mantan Menteri Besar Kedah, Allahyarham Datuk Seri Azizan Abdul Razak pada tahun 2007.
Hasil penyelidikan sistematik bersama pasukan penyelidiknya telah merekodkan penemuan penting termasuk penemuan relau peleburan besi dan lebih dua juta unit ‘tuyere’, iaitu alat arkeometalurgi yang digunakan untuk menyalurkan udara bagi meningkatkan suhu semasa proses peleburan besi.
Penemuan ini bukan sahaja menjadi bukti kewujudan industri peleburan besi berskala besar yang pernah wujud sejak 2,800 tahun lalu, malah mengangkat nama Kedah sebagai tapak tamadun tertua di Asia Tenggara yang kini menjadi kebanggaan rakyat negeri ini.