ALOR SETAR - Sultan Kedah, Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah menyeru seluruh rakyat untuk memperkukuh ukhuwah serta mendoakan kesejahteraan serta kemenangan rakyat Palestin dalam memperjuangkan hak dan maruah mereka.
Baginda bertitah agar seluruh umat Islam mendoakan keselamatan saudara seIslam di bumi Palestin.
“Semoga mereka dikurniakan ketabahan dan kemenangan dalam memperjuangkan hak serta maruah mereka,” titah baginda sempena perhimpunan sambutan Maal Hijrah peringkat negeri Kedah di Wisma Darul Aman pada Jumaat.
Turut berangkat, Raja Muda Kedah, Tengku Sarafudin Badlishah Sultan Sallehuddin dan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.
Sultan Sallehuddin menekankan pentingnya perpaduan dalam kalangan umat Islam bagi menangkis pengaruh luar yang boleh merosakkan kehidupan masyarakat.
“Kita perlu mengukuhkan hubungan sesama umat Islam, saling menghormati serta menjunjung keadilan demi menangkis pengaruh luar yang boleh merosakkan kehidupan kita,” titah baginda.
Baginda turut mengingatkan rakyat untuk memahami maksud firman Allah SWT dalam Surah Al-Hujurat, ayat 10 yang bermaksud: “Sesungguhnya orang-orang mukmin itu bersaudara. Maka damaikanlah antara saudara-saudaramu dan bertakwalah kepada Allah agar kamu mendapat rahmat.”
Sultan Kedah juga mahu rakyat Kedah mencontohi pengorbanan Rasulullah SAW dalam menegakkan agama Islam sebagai contoh agung.
“Rasulullah SAW sanggup meninggalkan tanah kelahiran tercinta demi melaksanakan perintah Ilahi. Semangat perjuangan dan kesetiaan Rasulullah SAW kepada agama dan umatnya perlu diterapkan dalam jiwa setiap rakyat, khususnya dalam memupuk rasa cinta kepada agama, bangsa dan negara,” titah baginda.
Sultan Sallehuddin bertitah, Nabi Muhammad SAW merupakan tokoh teladan sepanjang zaman, bukan sahaja diiktiraf oleh umat Islam, malah turut dihormati tokoh-tokoh Barat seperti Michael H. Hart yang meletakkan Rasulullah SAW sebagai tokoh nombor satu dunia dalam bukunya “The 100: A Ranking of the Most Influential Persons in History”.
“Beliau meletakkan Nabi Muhammad SAW sebagai tokoh nombor satu dunia, dengan alasan Rasulullah SAW merupakan satu-satunya insan yang berjaya dalam kedua-dua bidang, iaitu keagamaan dan keduniaan,” titah baginda.
Sultan Kedah juga berharap tahun baharu Hijrah akan menjadi titik tolak kepada peningkatan jati diri, pengukuhan iman dan pengamalan nilai-nilai Islam dalam kehidupan seharian rakyat,” titah baginda.
Baginda turut menegaskan, sambutan Maal Hijrah bukan sekadar acara tahunan, sebaliknya medan untuk umat Islam menilai kembali arah tuju kehidupan serta memperbaharui azam dan tekad ke arah perubahan positif.
“Hijrah yang sebenar bukan hanya bermaksud perpindahan secara fizikal, tetapi melibatkan perubahan minda, pembersihan jiwa dan pembentukan peribadi unggul yang berlandaskan syariat,” titah baginda.
Sultan Sallehuddin turut mengingatkan rakyat agar mengambil iktibar daripada kisah hijrah Rasulullah SAW dari Makkah ke Madinah yang menjadi lambang pengorbanan, kecekalan dan strategi kepimpinan luar biasa dalam membina tamadun Islam.
“Ia menunjukkan pentingnya perancangan teliti, kekuatan iman serta sokongan padu masyarakat, dalam membina tamadun Islam yang berdaya tahan.
“Dalam menghadapi cabaran semasa seperti keruntuhan moral, gejala sosial dan perpecahan institusi keluarga, kita perlu kembali meneladani semangat dan nilai murni yang ditunjukkan dalam peristiwa hijrah,” titah baginda.
Pada majlis tersebut, tokoh arkeologi negara, yang juga perintis penemuan Tamadun Kedah Tua di Sungai Batu, Merbok, Profesor Datuk Dr Mokhtar Saidin diumumkan sebagai Tokoh Maal Hijrah Kedah.
Masjid Jame' Badlishah di Yan dianugerahkan masjid terbaik kategori bandar, sementara Masjid Nurul Ehsan, Paya Besar di Baling sebagai masjid terbaik kategori luar bandar.