Maal Hijrah: Mohd Na'im seru umat Islam laksana transformasi menyeluruh

Iklan
Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berangkat bagi menyempurnakan Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan Tahun 1447H/2025M berlangsung hari ini di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC) pada Jumaat. Foto Bernama

KUALA LUMPUR – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar, menyeru umat Islam di negara ini supaya menghayati makna Hijrah yang tidak lagi terbatas kepada perubahan fizikal semata-mata, sebaliknya menuntut transformasi menyeluruh dari segi nilai, pemikiran dan sikap.

Beliau berkata, rakyat dituntut berhijrah daripada sikap pasif kepada proaktif serta beralih daripada kebergantungan kepada daya juang sendiri dalam usaha membina negara Madani.

Iklan
Iklan

Mohd Na’im berkata, setiap rakyat perlu menjadi ejen penggerak dalam membudayakan ilmu, menjunjung nilai, mengutamakan perpaduan dan menghormati perbezaan, sekali gus membangunkan keluarga, komuniti serta negara berasaskan ihsan dan takwa.

“Tahun ini, sambutan Maal Hijrah bertemakan ‘Membangun Ummah Madani’, suatu gagasan yang amat bertepatan dengan roh hijrah Rasulullah SAW.

Iklan

“Tema ini menuntut kita mengangkat semula peranan ummah sebagai ejen rahmat, adil dan progresif – membina sebuah masyarakat yang berteraskan nilai dan berpaksikan akidah,” katanya ketika berucap pada Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan 1447H/2025M di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC) di sini pada Jumaat.

Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, berangkat menyempurnakan majlis berkenaan.

Iklan

Turut berangkat ke majlis itu, anakanda Seri Paduka Baginda, Tunku Temenggong Johor, Tunku Idris Iskandar.

Hadir sama, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi serta barisan Menteri Kabinet.

Hampir 8,000 tetamu menghadiri majlis sambutan itu, termasuk kontinjen daripada kementerian, jabatan serta agensi kerajaan dan perwakilan asing.

Mohd Na’im berkata, hijrah juga merupakan detik memperbaharui azam untuk menjadikan semua pihak lebih bersatu, berakhlak dan bermaruah demi membangun ummah Madani yang bukan sahaja hebat di mata manusia, tetapi juga tinggi di sisi Tuhan.

“Semoga tahun 1447H ini menjadi tahun hijrah kita semua, iaitu hijrah ke arah rahmat, kebaikan dan kesejahteraan,” katanya.

Seiring dengan tema hijrah itu, Mohd Na’im berkata, kerajaan melalui Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) telah menggagaskan Pelan Transformasi Al-Falah 2023–2027, yang bertunjangkan lima nilai hijrah iaitu Ilmu, Integriti, Itqan, Istiqamah dan Ikhlas sebagai kerangka hala tuju strategik pembangunan Islam di Malaysia.

Menurutnya, langkah ini sekali gus menjadikan pentadbiran Islam lebih mampan, rakyat lebih menyumbang serta komuniti lebih peduli.

Beliau berkata, pelbagai inisiatif telah digerakkan antaranya Majlis Amanat Al-Falah 2025, Program Santuni Komuniti Madani, Program Zikir Akbar, Dakwah Berimpak, serta Santuni Anak Yatim dan Petugas Barisan Hadapan.

“Semua ini mencerminkan bahawa roh hijrah sedang diterjemahkan dalam bentuk tindakan, iaitu menyantuni rakyat, memperkukuh nilai dan memperkasakan masyarakat,” katanya. - Bernama