KUALA LANGAT - Perselisihan faham ketika memasuki lorong tunai menjadi punca pergaduhan melibatkan pemandu pacuan empat roda dan sebuah lori di Plaza Tol Telok Panglima Garang pada Khamis.
Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintenden Akmalrizal Radzi berkata, kejadian kira-kira jam 6.15 petang itu melibatkan dua lelaki tempatan yang merupakan pemandu kedua kenderaan terbabit.
"Siasatan mendapati kejadian berpunca daripada salah faham apabila pemandu pacuan empat roda jenis Toyota Hilux itu didakwa memotong barisan di sebelah kiri sebelum memasuki lorong tunai plaza tol berkenaan.
"Tindakan itu mengakibatkan berlaku perlanggaran dengan sebuah lori yang dipandu seorang individu," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Katanya, selepas perlanggaran berlaku, pemandu Hilux berusaha untuk mengajak pemandu lori berbincang namun lelaki berkenaan enggan berhenti dan terus memandu kenderaannya.
"Situasi itu menyebabkan berlaku pertelingkahan antara kedua-dua pihak terlibat.
"Bagaimanapun hasil siasatan menyeluruh mendapati tiada unsur jenayah serius dan kedua pihak telah bersetuju menyelesaikan perkara ini secara baik," katanya.
Menurutnya, kedua-dua pemandu terbabit telah tampil ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat bagi memberi keterangan berhubung kejadian.
"Siasatan lanjut dijalankan oleh Bahagian Trafik IPD Kuala Langat di bawah Peraturan 10 Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 (Peraturan 10 LN 166/59).
"Polis menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian," katanya.
Terdahulu tular di media sosial insiden pergaduhan melibatkan pemandu dua buah kenderaan berdekatan sebuah plaza tol di sini.
Kejadian terbabit didakwa berpunca daripada berlakunya pelanggaran antara kedua kenderaan terlibat.
Kejadian bagaimanapun berjaya ditenangkan orang awam yang berada sekitar lokasi berkenaan.