SHAH ALAM – Program Data Telefon Bimbit di bawah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) tidak melibatkan sebarang pencerobohan privasi, sebaliknya membantu kerajaan dalam menilai prestasi rangkaian mudah alih, isu jurang digital dan tahap kesiapsiagaan bagi respons kecemasan.
Pengerusi Majlis Protokol Internet versi 6 (IPv6) Asia Pasifik (APAC), Prof. Emeritus Dr Sureswaran Ramadass berkata, program tersebut hanya mengumpulkan data yang telah dianonimkan dan diagregatkan tanpa melibatkan sebarang maklumat peribadi pengguna seperti nama, nombor telefon, sejarah pelayaran internet atau kandungan mesej.
“Data yang dikumpul hanyalah metadata umum seperti kekuatan isyarat, corak penggunaan rangkaian, kod kawasan lokasi dan metrik bukan peribadi lain yang penting untuk tujuan perancangan dan penambahbaikan perkhidmatan telekomunikasi negara.
“Menyamakan program itu dengan aktiviti pemantauan yang mencabuli privasi adalah tidak tepat dari sudut teknikal dan bersifat mengelirukan,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Ujar beliau yang juga pakar keselamatan siber, data berkenaan kurang terperinci berbanding metadata yang dikumpulkan secara rutin oleh platform global seperti Google, Apple, Meta dan pelbagai aplikasi mudah alih lain.
Menurutnya, program berkenaan juga mematuhi segala peruntukan dalam Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Akta Perlindungan Data Peribadi 2010.
“SKMM tidak mempunyai akses kepada data seperti nama, nombor telefon, log panggilan, mesej atau identiti pengguna.
“Umumnya, syarikat telekomunikasi (MNO) sangat berhati-hati dalam berkongsi data mereka, namun mereka tidak menghadapi masalah untuk bekerjasama dengan SKMM dalam pelaksanaan projek ini,” ujarnya.
Kata beliau, dari sudut teknikal dan dasar, program tersebut juga sangat penting dalam perancangan infrastruktur digital negara.
“Dengan kemajuan pelaksanaan 5G dan inisiatif bandar pintar di Malaysia, pihak berkuasa memerlukan pandangan berdasarkan bukti masa nyata berhubung liputan mudah alih, kepadatan peranti serta pergerakan penduduk bagi merancang penggunaan sumber, spektrum dan kesiapsiagaan kecemasan secara berkesan,” jelasnya.
Sementara itu, Pengarah Pusat Penyelidikan Keselamatan Siber, Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dr Selvakumar Manickam berkata, dalam keadaan masyarakat bimbang terhadap pengumpulan data oleh kerajaan, perhatian yang sama tidak diberikan kepada syarikat teknologi global seperti Meta (Facebook), ByteDance (TikTok) dan X.
Ujarnya, ramai pengguna tanpa sedar berkongsi data peribadi secara berlebihan di platform berkenaan seperti lokasi, minat, rutin harian dan maklumat sensitif seperti sekolah anak, rekod vaksinasi serta rancangan percutian.
“Facebook pernah mendakwa tidak akan menjual data pengguna, namun pernah dikaitkan dengan skandal besar apabila berkongsi data pengguna dengan Cambridge Analytica, melibatkan data peribadi digunakan bagi tujuan manipulasi politik.
“Jika kebimbangan sebenar adalah mengenai penyalahgunaan data, maka platform yang menjana keuntungan hasil pemungutan data secara besar-besaran wajar diteliti dengan lebih serius, malah mungkin lebih tegas lagi berbanding program kerajaan,” katanya.