SHAH ALAM – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar mengakui bahawa pemergian Pengerusi Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Datuk Dr Muhammad Nur Manuty benar-benar menyentuh hatinya secara peribadi.
Mohd Na’im berkata, beliau membesar dengan mengenali nama dan ketokohan Allahyarham sebagai ilmuwan, pendakwah dan pemikir yang sentiasa istiqamah memperjuangkan nilai Islam melalui ilmu, wacana serta kepimpinan.
Iklan
Iklan
“Daripada menerajui Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) sehinggalah memimpin IKIM, Almarhum tidak pernah jemu memartabatkan dakwah dengan pendekatan hikmah dan intelektual. Banyak pandangan serta nasihat beliau menjadi bekal dan pedoman buat kami yang masih meneruskan perjuangan ini.
“Saya pernah beberapa kali berkesempatan berdialog dengan Almarhum dan setiap kali itu terasa seolah-olah sedang belajar daripada seorang murabbi yang sangat penyabar dan luas wawasannya,” katanya menerusi hantaran di laman sosial pada Khamis.
Terdahulu, Muhammad Nur, 76, meninggal dunia pada jam 11.27 pagi tadi di Hospital Sultan Idris Shah, Serdang, dan akan disolatkan di Masjid Al-Umm, Bangi selepas solat Asar sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sungai Tangkas, Bangi.
Allahyarham dilantik sebagai Pengerusi IKIM pada 8 Mei 2023, dan sebelum itu pernah memegang jawatan sebagai Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) dari 1 Oktober 2018 hingga 30 September 2021.
Pada 18 Januari lalu, beliau menerima penghormatan tertinggi daripada Persatuan Mualaf Singapura (MCAS) atas dedikasi, kepemimpinan dan sumbangan beliau yang membawa perubahan besar kepada persatuan tersebut.