Lelaki ugut pengamal media ketika bertugas dihadapkan ke mahkamah

Iklan
Ketiga-tiga jurugambar dari stesen TV3 dan media tempatan lain sedang merakam pergerakan seorang individu yang sedang menunggu proses pertuduhan di Mahkamah Majistret, Johor Bharu, pada Rabu sebelum menerima ugutan daripada suspek. Gambar kecil: Raub Selamat

JOHOR BAHRU - Seorang lelaki yang mengeluarkan ugutan jenayah terhadap tiga pengamal media di pekarangan Mahkamah Johor Bahru pada Rabu, ditahan polis dan akan didakwa hari ini.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 9 pagi ketika kesemua mangsa sedang membuat liputan berhubung satu kes samseng jalanan.

Iklan
Iklan

Menurutnya, ketika kejadian, ketiga-tiga jurugambar dari TV3 dan media tempatan lain sedang merakam pergerakan seorang individu yang sedang menunggu proses pertuduhan di mahkamah.

“Suspek yang tidak berpuas hati telah mengeluarkan kata-kata berunsur ugutan kepada mereka.

Iklan

"Dia berkata 'Kenapa rakam dekat bawah, sudah rakam, nanti aku keluar aku 'cepuk' kau... Jangan buat aku marah, nanti aku sepak kau,’” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Tambah Raub, ketiga-tiga mangsa berasa terancam lalu tampil membuat laporan polis berhubung kejadian tersebut.

Iklan

“Hasil maklumat dan risikan, suspek berusia 50 tahun berjaya ditahan sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan di Bandar Baru Uda pagi tadi.

“Siasatan mendapati kejadian berlaku di tangga laluan ke bilik perbicaraan dan rakaman video yang diserahkan kepada polis mengesahkan kata-kata ugutan itu,” katanya.

Raub berkata, semakan mendapati suspek merupakan individu yang sedang dibicarakan dalam dua kes berasingan sebelum insiden ugutan berlaku.

“Dia telah dijatuhi hukuman denda RM7,500 atau penjara 12 bulan di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan (Khianat) dan denda RM5,500 di bawah Seksyen 43 Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Pandu secara melulu).

“Suspek telah menjelaskan kedua-dua denda dan dibebaskan pada jam 1.15 petang, sebelum laporan polis dibuat,” jelasnya.

Tambah beliau, semakan lanjut mendapati lelaki berkenaan mempunyai beberapa rekod jenayah lampau membabitkan kes penipuan (Seksyen 420 Kanun Keseksaan), fitnah (Seksyen 500) dan ugutan jenayah (Seksyen 506).

Raub turut menegaskan bahawa pihak polis tidak akan berkompromi dengan sebarang tindakan intimidasi atau ugutan terhadap petugas media yang sedang menjalankan tugas.

“Kes ini kini disiasat di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah dengan niat menakutkan mangsa.

"Jika sabit kesalahan, suspek boleh dikenakan hukuman penjara sehingga tujuh tahun, atau denda, atau kedua-duanya sekali. Keselamatan dan kebebasan media akan sentiasa dilindungi dan dihormati,” katanya.