MCTC gesa haramkan segera penjualan, penggunaan vape

Iklan
Muhammad Sha’ani (lima dari kiri) dan Hashim (empat dari kanan) ketika sambutan Hari Antidadah Sedunia di Kuala Lumpur pada Khamis.

KUALA LUMPUR – Kerajaan perlu serius menangani ketagihan nikotin dengan segera mengharamkan penjualan vape atau rokok elektronik sebelum ia menjadi lebih parah.

Setiausaha Agung Majlis Kawalan Tembakau Malaysia (MCTC), Muhammad Sha’ani Abdullah berkata, industri vape dilihat sebagai 'nyawa kedua’ syarikat rokok yang kini semakin agresif menyasarkan generasi muda.

Iklan
Iklan

Menurutnya, walaupun jumlah pengguna vape masih rendah berbanding perokok sebenar, namun peningkatan drastik dalam tempoh singkat membuktikan ia bukan lagi isu kecil.

“Pada 2016, hanya sekitar 3 hingga 4 peratus rakyat guna vape. Sekarang meningkat kepada 8 peratus. Kalau dibiar, kita akan lihat gelombang ketagihan nikotin yang lebih sukar dibendung,” katanya sempena sambutan Hari Antidadah Sedunia yang berlangsung di ibu pejabat Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (Pemadam) di sini pada Khamis.

Iklan

Muhammad Sha’ani menegaskan, pengharaman vape lebih praktikal dilakukan sekarang kerana jumlah penggunanya masih rendah, sekali gus mudah dikawal berbanding rokok tradisional yang sudah berakar umbi dalam masyarakat sejak berdekad lalu.

Beliau dalam masa sama mendedahkan, industri vape kini sebenarnya dikawal oleh syarikat rokok utama dunia yang melihat vape sebagai peluang untuk menyambung hayat mereka di tengah tekanan dasar dan kesedaran kesihatan awam.

Iklan

“Mereka tahu masa depan rokok makin gelap. Jadi mereka guna vape dan e-rokok untuk kekal relevan. Inilah sebab utama kenapa kerajaan perlu bertindak cepat sebelum industri ini jadi terlalu besar untuk diharamkan,” jelasnya.

Tambahnya, banyak negara telah berjaya menurunkan kadar merokok di bawah 10 peratus melalui dasar kawalan berterusan.

"Jika Malaysia mampu menurunkan kadar itu ke bawah 5 peratus, industri rokok dan vape akan mati sendiri – tanpa perlu sebarang larangan drastik," katanya.

Muhammad Sha’ani (kiri) dan Hashim (tengah) ketika sidang media pada Khamis.

Sementara itu, Pengerusi Biro Media dan Promosi Pemadam Kebangsaan, Hashim Anang menzahirkan kebimbangan terhadap peningkatan penggunaan vape dan rokok dalam kalangan pelajar sekolah yang disifatkan sebagai satu trend membimbangkan.

Berdasarkan pemerhatiannya, ramai pelajar membawa telefon bimbit dan vape ke sekolah, walaupun kedua-duanya jelas dilarang.

"Lebih membimbangkan, ada yang menyembunyikannya di bawah tempat duduk motosikal sebelum memasuki kawasan sekolah.

“Kita bimbang seolah-olah ibu bapa dan masyarakat sudah menghalalkan penggunaan vape,” ujarnya.

Berikutan itu, Hashim menyeru orang awam turut serta dalam kempen menjauhi dadah, rokok dan vape.