Pegawai kesihatan didakwa terima suapan RM3,000

Iklan
Pegawai kesihatan, Mohd Azrul Nazwan didakwa terima suapan daripada seorang pengurus restoran tahun lalu.

JOHOR BAHRU – Seorang Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Khamis atas pertuduhan menerima suapan berjumlah RM3,000, tahun lalu.

Tertuduh, Mohd Azrul Nazwan A. Rani, 42, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail.

Iklan
Iklan

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa menerima wang suapan tersebut daripada seorang pengurus restoran sebagai dorongan supaya tidak mengambil tindakan undang-undang di bawah Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah restoran di Merlin Tower, Jalan Meldrum, di sini antara jam 8 hingga 9 malam pada 25 Julai tahun lalu.

Iklan

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta 694) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta yang sama.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Iklan

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Siti Asmah Zainal Arifin, yang tidak menawarkan sebarang jaminan kerana kes berkenaan tidak boleh dijamin.

Bagaimanapun, peguam Ahmad Syafiq Mohd Ghazali yang mewakili tertuduh memohon agar jaminan dibenarkan sebanyak RM5,000 atas alasan anak guamnya menanggung isteri dan ibu mentua serta perlu menjalani rawatan dialisis buah pinggang tiga kali seminggu yang menelan belanja kira-kira RM3,920 sebulan.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin warga tempatan, serta perlu melapor diri di Pejabat SPRM Johor Bahru sebulan sekali dan menyerahkan pasport kepada mahkamah.

Hakim turut menetapkan 5 Ogos depan sebagai tarikh sebutan semula kes bagi serahan dokumen.