Bekas Pengarah JKR KL didakwa terima RM70,000

Iklan
Norman mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Khamis, atas lima pertuduhan menerima wang berjumlah RM70,000 berkaitan projek penyenggaraan, tahun lalu.

KUALA LUMPUR – Seorang bekas Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Kuala Lumpur mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Khamis atas lima pertuduhan menerima wang berjumlah RM70,000 berkaitan projek penyenggaraan, tahun lalu.

Datuk Ir. Norman Md Rabani, 51, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Suzana Hussin.

Iklan
Iklan

Mengikut semua pertuduhan, bapa kepada empat orang anak itu didakwa menerima wang tersebut tanpa sebarang balasan daripada seorang subkontraktor yang mempunyai kepentingan dengan empat syarikat penyenggaraan bangunan, sedangkan ia mempunyai kaitan dengan tugas rasmi tertuduh.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah pusat beli-belah di sini antara 10 Ogos 2024 hingga 23 Januari lalu.

Iklan

Beliau didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Natrah Fareha Rahmat mencadangkan tertuduh dikenakan ikat jamin sebanyak RM25,000 dengan seorang penjamin.

Iklan

“Ia termasuk syarat tambahan, iaitu menyerahkan pasport kepada mahkamah, melapor diri di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhampiran pada setiap awal bulan dan tidak mengganggu saksi pendakwaan,” katanya.

Bagaimanapun, peguam Abdul Hakeem Aiman yang mewakili tertuduh memohon jaminan yang lebih rendah memandangkan anak guamnya perlu menanggung empat orang anak berusia antara 16 hingga 24 tahun.

“Anak guam saya bukan ahli perniagaan, sebaliknya penjawat awam yang telah ditahan reman selama empat hari.

“Sekiranya jumlah jaminan terlalu tinggi, ia akan memberi tekanan kewangan kepada tertuduh dan keluarga,” katanya.

Selepas mendengar permohonan kedua-dua pihak, Hakim Suzana membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM20,000 dengan seorang penjamin termasuk syarat tambahan seperti yang dicadangkan pihak pendakwaan.

Mahkamah menetapkan 20 Ogos depan sebagai tarikh sebutan semula kes.