SUBANG – Istiadat Perbarisan Persaraan Panglima Tentera Udara Ke-20, Jeneral Tan Sri Mohd Asghar Khan Goriman Khan TUDM berlangsung penuh istiadat ketenteraan di Pangkalan Udara Subang di sini pada Khamis.
Majlis bersejarah itu diadakan sebagai tanda penghargaan terhadap jasa dan khidmat bakti beliau sepanjang berkhidmat dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM), khususnya Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).
Turut diraikan, isteri beliau, Puan Sri Bibi Nasratjahan Gulab Khan.
Seramai 24 pegawai dan 403 anggota lain-lain pangkat diketuai Leftenan Kolonel Muhd Faizal Abdul Rahim TUDM terlibat dalam perbarisan yang dijalankan dengan penuh istiadat itu.
Perbarisan turut menampilkan lapan panji-panji iaitu Panji-Panji Rejimen TUDM, Panji-Panji Kolej Tentera Udara serta Panji-Panji Nombor 6, 10, 12, 16, 18 dan 20 Skuadron bersama empat Skuadron Pengawal.
Turut memeriahkan acara ialah lintas hormat udara melibatkan dua pesawat SU-30MKM, tiga F/A-18D, tiga C-130H, sebuah A400M, lima PC-7 MKII serta empat helikopter EC-725 AP yang membentuk formasi khas semasa penghormatan kepada Asghar Khan.
Majlis diteruskan dengan upacara pemakaian pangkat dan serah terima jawatan Panglima Tentera Udara kepada pengganti beliau, Jeneral Datuk Seri Muhamad Norazlan Aris.
Upacara yang berlangsung di hadapan kontinjen perbarisan itu disaksikan Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Haji Mohd Nizam Jaffar.
Penyerahan tonggak kuasa turut dilakukan sebagai simbolik pelantikan rasmi Jeneral Muhamad Norazlan sebagai Panglima Tentera Udara Ke-21.
Hadir sama, Panglima Operasi Udara, Leftenan Jeneral Datuk Masro Kaliwon, Panglima Pendidikan dan Latihan Udara, Leftenan Jeneral Datuk Nur Hafis Abdul Karim, Panglima Bantuan Udara, Mejar Jeneral Datuk Ahmad Khusairi Ahmad Fadli serta pegawai kanan TUDM.