Empat lelaki didakwa edar cecair kokain hampir 10 liter

Iklan
Seorang lelaki tempatan dan tiga warga Singapura didakwa di Mahkamah Majistret Ampang pada Khamis, atas satu pertuduhan mengedar dadah jenis kokain berbentuk cecair hampir 10 liter dekat sebuah hotel di sini, minggu lalu.

AMPANG – Seorang lelaki tempatan dan tiga warga Singapura didakwa di Mahkamah Majistret di sini pada Khamis atas satu pertuduhan mengedar dadah jenis kokain berbentuk cecair hampir 10 liter berhampiran sebuah hotel di sini, minggu lalu.

Kong Sien Mee, 57, dan tiga lelaki Singapura, Quek Kien Seng, 45, Tristan Chew Jin Zhong, 25, serta Ivan Tan Zhi Xuan, 31, mengangguk tanda faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Amalina Basirah Md Top.

Iklan
Iklan

Tiada pengakuan direkodkan daripada semua tertuduh kerana kes itu berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa bersama-sama mengedar dadah jenis kokain dengan anggaran isipadu 9.4202 liter di jalan keluar sebuah hotel di sini pada jam 11.45 pagi, 19 Jun lalu.

Iklan

Mereka didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup; jika tidak dihukum mati, hendaklah dikenakan sekurang-kurangnya 12 sebatan jika sabit kesalahan.

Iklan

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, M. Ramanathan Alias Ashwin, manakala peguam Ille Maryam Yusnawannie hadir bagi pihak tiga lelaki warga asing itu.

Sien Mee pula tidak diwakili peguam dan mahkamah menetapkan sebutan semula kes pada 8 September ini.

Pada Isnin lalu, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman menumpaskan sindiket pengedaran cecair vape yang disyaki mengandungi dadah, dengan anggaran rampasan mencecah RM7.2 juta.