JOHOR BAHRU – Lebih 60,000 penumpang menggunakan perkhidmatan bas awam di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar (BSI) setiap hari untuk merentasi sempadan Johor Bahru - Singapura setiap hari.
Exco Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi Johor, Mohamad Fazli Mohamad Salleh berkata, pelbagai penambahbaikan sedang dilaksanakan bagi memastikan kelancaran perkhidmatan di terminal berkenaan.
Katanya, antara langkah yang diambil termasuk pengasingan barisan sejak dari dewan penumpang supaya tidak berlaku kesesakan kerana pengguna menaiki bas yang berbeza.
“Dengan purata lebih daripada 60,000 orang menggunakan perkhidmatan bas untuk merentasi sempadan Johor Bahru - Singapura setiap hari, semestinya sistem pengurusan perkhidmatan ini merupakan satu cabaran yang sangat besar.
“Antara penambahbaikan yang telah dibuat adalah pengasingan barisan beratur bermula dari dewan penumpang bas supaya pengasingan dapat dilakukan awal agar tidak berlaku kesesakan kerana penumpang bas ini menaiki bas yang berbeza-beza,” katanya selepas melakukan lawatan di BSI pada Khamis.
Jelasnya Mohamad Fazli terdapat lapan jenis bas, dengan enam merupakan bas awam terdiri daripada CW, SBST, AC7, SMRT, SJE dan TranStar, manakala dua yang lain adalah bas kilang dan persiaran.
Perkhidmatan bas SBST, AC7, SMRT, SJE dan TranStar ialah kendalian syarikat operator Singapura.
Mohamad Fazli turut memaklumkan kajian sedang dijalankan terhadap bas kilang yang mengambil penumpang luar, yang bukan sahaja menyalahi undang-undang malah menimbulkan risiko keselamatan dan kesesakan di dewan bas.
"Kita juga telah mengadakan perbincangan dengan pengusaha bas Singapura bagi memulakan operasi seawal jam 4 pagi.
“Insya-ALLAH, penambahbaikan akan dilaksanakan dengan baik serta dipantau dengan rapi,” katanya.