Lelaki tunggang basikal secara cuai hingga sebabkan kemalangan maut dijel sebulan

Iklan
Seorang lelaki dijatuhi hukuman penjara sebulan atas pertuduhan menunggang basikal secara cuai sehingga menyebabkan kemalangan maut pada Mac tahun lalu.

SEREMBAN – Seorang lelaki dijatuhi hukuman penjara sebulan oleh Mahkamah Majistret di sini pada Khamis atas pertuduhan menunggang basikal secara cuai sehingga menyebabkan kemalangan maut pada Mac tahun lalu.

Majistret Nurul Azuin Mohd Talhah membuat keputusan itu selepas tertuduh, K. Selva Natchathiram, 56, mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan kepadanya.

Iklan
Iklan

Beliau mengarahkan hukuman tersebut bermula dari tarikh tertuduh ditangkap, iaitu pada 29 Mei 2025.

Mengikut pertuduhan, tertuduh sebagai penunggang basikal telah menunggang kenderaannya tanpa kecermatan dan perhatian sewajarnya di atas jalan raya sehingga menyebabkan kemalangan.

Iklan

Kesalahan itu dilakukan pada 27 Mac 2024, kira-kira jam 2.55 petang di hadapan sebuah pasar raya di Taman Desa Anggerik, di sini.

Berikutan itu, tertuduh telah melakukan satu kesalahan di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan dibaca bersama Seksyen 54(1) akta sama serta boleh dihukum di bawah Seksyen 54(2) akta tersebut.

Iklan

Sabit kesalahan, tertuduh boleh didenda tidak kurang RM1,000 dan tidak lebih RM5,000, dan boleh juga dipenjarakan bagi tempoh tidak melebihi 12 bulan.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon agar dikenakan hukuman penjara kerana tidak mampu membayar denda, selain hanya bekerja sebagai pengawal keselamatan.

Timbalan Pendakwa Raya, P. Rubini memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada orang ramai.

Mengikut fakta kes, siasatan awal di lokasi kejadian mendapati kemalangan berlaku semasa penunggang basikal berkenaan sedang menghala dari Ampangan ke Senawang.

Namun, apabila sampai di tempat kejadian, penunggang basikal itu membelok ke simpang kanan dan tiba-tiba seorang penunggang motosikal jenis Yamaha 135LC yang datang dari arah bertentangan melanggarnya di bahagian tengah.

Akibat pelanggaran tersebut, penunggang motosikal berusia 28 tahun mengalami kecederaan parah di kepala dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.