SHAH ALAM - Pembangkang kesal dengan tindakan kerajaan yang didakwa cuba menafikan kebimbangan rakyat terhadap pelbagai dasar yang bakal diperkenalkan termasuk dalam isu peluasan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) dan penyasaran subsidi RON95.
Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin mendakwa, ia dibuktikan apabila setiap kebimbangan yang disuarakan ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) didakwa hanya sebagai gimik politik.
Sedangkan katanya, kekecewaan rakyat termasuk golongan muda dizahirkan secara terbuka di khalayak dan juga media sosial terhadap kerajaan.
"Ahli-ahli Parlimen Perikatan Nasional bangkit menyuarakan kebimbangan tentang kesan dan beban bertimpa-timpa yang terpaksa ditanggung rakyat.
"Bila ahli-ahli Parlimen Perikatan Nasional menegur kerajaan bahawa rasionalisasi RON95 yang akan dilaksanakan selepas ini bakal memburukkan lagi keadaan, ketika kehidupan rakyat sudah pun lemas, itu dikatakan hanyalah gimik pembangkang," katanya menerusi satu kenyataan pada Rabu.
Beliau mendakwa, dengan peluasan cukai itu akan menyebabkan banyak barangan keperluan rakyat seperti buah import akan dikenakan cukai susulan peluasan tersebut.
Peluasan SST berkuat kuasa 1 Julai ini akan meluaskan asas percukaian untuk merangkumi lebih banyak barangan import dan perkhidmatan, sambil mengekalkan barangan keperluan asas bebas cukai bagi meminimumkan tekanan inflasi.
Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Johan Mahmood Merican dalam temubual bersama Sinar Harian berkata, SST yang diperluaskan itu dijangka meningkatkan hasil sebanyak RM5 bilion pada 2025 dan RM10 bilion pada 2026.
Katanya, peluasan skop SST yang diumumkan kerajaan sebenarnya hanya melibatkan penambahan sekitar 20 peratus daripada keseluruhan 6,297 barangan dan perkhidmatan yang telah pun dikenakan cukai sebelum ini.
Jelas beliau, kerajaan berusaha mengurangkan sebanyak mungkin beban kepada rakyat biasa dengan pelaksanaan perluasan SST yang lebih bersasar.
“Itulah antara sebab cukai jualan kita tak kenakan atas barangan asas harian, sebab SST lain daripada GST. Kalau GST, setiap peringkat kena (tanggung),” ujar Johan sebelum ini.