MELAKA – Seorang pelajar orang kurang upaya (OKU) sejak lahir akibat masalah saraf motor neuron membuktikan bahawa kekurangan bukan penghalang untuk cemerlang apabila berjaya memperoleh Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 3.58 dalam keputusan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2024.
Muhammad Aidil Farhan Muhammad Kamal, 19, yang bergerak menggunakan kerusi roda adalah anak kepada seorang pesara kerajaan dan seorang suri rumah.
Katanya, walaupun sering dimomokkan bahawa STPM adalah peperiksaan yang mencabar, tanggapan itu dijadikan sebagai dorongan untuk mengejar cita-citanya sebagai pensyarah dalam bidang perakaunan.
Menurut pelajar Kolej Tingkatan Enam Tun Fatimah, Durian Daun, dia amat bersyukur kerana dikelilingi rakan sekelas yang prihatin dan sentiasa ringan tulang, termasuk membantu menolak kerusi rodanya ke tandas dan kantin serta sanggup menunggu tanpa mengeluh sepanjang waktu persekolahan.
"Sebenarnya saya belajar seperti biasa, buat kumpulan belajar bersama rakan-rakan dan dibantu guru-guru yang sangat prihatin.
“Ini bukan kejayaan saya seorang tetapi kejayaan bersama mereka yang banyak membantu dan memberikan sokongan. Sesungguhnya saya begitu terhutang budi kepada mereka,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Padang Temu, di sini, pada Khamis.
Hadir sama, Ahli Parlimen Kota Melaka, Khoo Poay Tiong.
Anak bongsu daripada dua beradik itu memaklumkan bahawa sementara menunggu keputusan permohonan ke institusi pengajian tinggi, dia kini aktif memberi kelas tuisyen kepada saudara mara yang akan menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tidak lama lagi.
Malah dia turut menitipkan pesanan kepada rakan-rakan agar sentiasa berfikiran positif, patuh kepada ibu bapa dan memperbanyakkan doa.
“Yang penting perlu selalu positif walaupun kita serba kekurangan. Saya pegang pesanan mak dan ayah: jangan putus asa, jangan pandang ke belakang, teruskan melangkah ke hadapan,” katanya yang berhasrat melanjutkan pengajian dalam bidang perakaunan di salah satu universiti pilihannya, iaitu Universiti Malaya (UM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) atau Universiti Putra Malaysia (UPM).
Sementara itu, ibunya, Zanariah Noor Mohd, 51, berkata, sejak anaknya berusia empat tahun hingga ke Tingkatan Enam, dia tidak pernah jemu menghantar dan menunggu anaknya di sekolah.
Menurutnya, ketika anaknya di sekolah rendah dan menengah, terdapat juga murid yang mengejek keadaannya, namun dia menasihatkan mereka secara baik.
“Saya juga pernah menyuarakan isu ketiadaan tandas OKU di sekolah dan masalah itu mendapat perhatian Ahli Parlimen Kota Melaka, Khoo Poay Tiong yang tampil membantu.
“Terkini, YB berjanji akan menyumbangkan kerusi roda elektrik sekiranya Aidil Farhan berjaya melanjutkan pengajian ke universiti, serta membantu membiayai kos pembinaan tandas khas di rumah bagi kemudahan Aidil,” katanya.