PUTRAJAYA – Kementerian Pengangkutan (MOT) mendedahkan sebanyak 28 syarikat kenderaan barangan dan syarikat pengendali bas ekspres direkodkan masing-masing mempunyai lebih 1,000 dan 200 saman tertunggak aktif Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, pendedahan senarai itu merupakan langkah drastik susulan kebimbangan rakyat terhadap peningkatan kemalangan membabitkan kenderaan berat dan bas ekspres.
“Buat pertama kali, kerajaan mendedahkan secara terbuka senarai syarikat yang mempunyai longgokan saman tertunggak sebagai amaran kepada pengendali supaya mematuhi undang-undang dan mengutamakan keselamatan,” katanya ketika sidang akhbar di Bangunan MOT di sini pada Rabu.
Menurut Loke, KDEB Waste Management Sdn Bhd tersenarai sebagai syarikat pengendali kenderaan barangan yang merekodkan jumlah saman tertinggi oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dengan 22,017 saman aktif.
"Antara syarikat lain dalam senarai pengendali kenderaan barangan termasuk Mainiza Mantap Sdn Bhd (5,108 saman) dan Advancecon Machinery Sdn Bhd (3,620 saman).
"Bagi bas ekspres, syarikat tertinggi mencatat saman ialah Cepat Ekspres Sdn Bhd (540 saman), diikuti New Hoover Express & Travels Sdn Bhd (512) dan Kuala Lumpur-Alor Star Express Sdn Bhd (477).
“Pendedahan ini bukan untuk menghukum, tetapi sebagai langkah mendidik agar mereka mengubah budaya operasi dan mengutamakan ‘safety culture’ dalam setiap aspek perkhidmatan,” katanya.
Beliau berkata, lima kesalahan utama bagi pengendali kenderaan barangan ialah kesalahan teknikal (brek, tayar, ubah suai kenderaan), tiada lesen memandu, lebih muatan, tiada Lesen Kenderaan Motor (LKM) atau insurans serta memandu melebihi had laju.
"Bagi bas ekspres, kesalahan paling kerap ialah memandu melebihi had laju, diikuti kesalahan lalu lintas (menggunakan lorong kanan, memotong barisan, penggunaan telefon bimbit), kesalahan teknikal, tiada lesen memandu serta ketiadaan LKM atau insurans," katanya.
Tegasnya, kesemua syarikat yang tersenarai diberikan tempoh 14 hari mulai tarikh pengumuman untuk menyelesaikan semua saman tertunggak di mana-mana pejabat JPJ negeri atau cawangan.
“Kegagalan berbuat demikian akan menyebabkan lesen operasi dan semua kenderaan syarikat terbabit digantung serta-merta. Kita tidak akan bertolak ansur,” katanya.
Menurutnya, JPJ dan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) akan menjalankan audit terhadap syarikat terbabit bagi memastikan pembetulan menyeluruh termasuk latihan pemandu dan aspek penyelenggaraan.
Anthony Loke turut menyeru orang ramai untuk melaporkan sebarang kes pemanduan berbahaya menggunakan rakaman video beserta nombor pendaftaran dan butiran lokasi bagi membantu siasatan.
Beliau turut merujuk tindakan segera terhadap sebuah syarikat bas yang digantung operasinya selama 30 hari susulan video tular memaparkan pemanduan berbahaya.
“Tindakan penggantungan tidak melibatkan satu bas sahaja tetapi semua bas milik syarikat terbabit. Ia termasuk pembatalan lesen kenderaan sekiranya kesalahan serius dikesan,” katanya.
Beliau berkata, budaya keselamatan perlu diterapkan secara menyeluruh dan tidak boleh dibiarkan tragedi seperti kemalangan melibatkan pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) berulang.
“Kita tidak mahu lagi nyawa terkorban hanya kerana kelalaian pengendali. Semua pihak perlu mengambil serius isu ini,” katanya.
Menteri Pengangkutan turut menegaskan bahawa fokus semasa adalah terhadap pengangkutan awam berat berikutan risikonya yang tinggi, namun penguatkuasaan terhadap kenderaan persendirian dan motosikal akan turut diperluas secara berperingkat.