Lebih 40 kubur berusia ratusan tahun lenyap akibat hakisan

Iklan
Shahrul Nizam (kanan) dan Razak melihat kubur yang terletak berhampiran jalan utama dan tebing sungai. Foto Sinar Harian, gambar kecil dari kiri: Razak Daud, Shahrul Nizam, Zulkifli Mahmud

JERANTUT– Lebih 40 kubur lama dipercayai berusia ratusan tahun di Kampung Gintong di sini lenyap dihanyutkan arus Sungai Pahang akibat hakisan tebing yang semakin kritikal sejak beberapa dekad lalu.

Fenomena itu yang berlarutan sejak tahun 1980-an semakin meruncing saban tahun terutama ketika musim tengkujuh, sekali gus menimbulkan kebimbangan penduduk kampung terhadap nasib tanah perkuburan serta jalan utama kampung yang terletak berhampiran tebing sungai.

Iklan
Iklan

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Gintong, Shahrul Nizam Harun, 46, berkata, beliau menyaksikan sendiri kejadian runtuhan tebing paling dahsyat pada tahun 1986 ketika beliau masih di bangku sekolah rendah.

Antara kesan hakisan tebing sungai yang berhampiran tapak perkuburan kampung tersebut. Foto Sinar Harian

Iklan

“Sejak dari itu setiap kali musim banjir, air sungai akan melimpah dan menghakis tebing sedikit demi sedikit.

"Kini tinggal kira-kira 40 hingga 50 kaki sahaja jaraknya dari sungai ke kawasan kubur sedia ada,” katanya.

Iklan

Beliau berkata, lebih membimbangkan tanah perkuburan itu adalah tapak lama yang sudah wujud sebelum generasi kini dilahirkan.

Ujarnya, ramai waris tidak sempat mengenal pasti kedudukan sebenar kubur nenek moyang mereka kerana telah dihanyutkan arus sungai.

Seorang lagi penduduk, Razak Daud, 64, turut menyuarakan kebimbangan kerana tapak perkuburan itu menempatkan kubur kedua ibu bapanya dan ahli keluarga lain.

Lebih 40 kubur dipercayai berusia ratusan tahun lenyap dibawa arus Sungai Pahang akibat hakisan tanah.

“Setiap tahun, hakisan berlaku dan semakin menghampiri kubur keluarga kami. Kalau tiada tindakan diambil, saya tidak menolak kemungkinan kubur yang masih ada pun akan hilang dalam masa 10 ke 15 tahun lagi,” ujarnya.

Jelasnya, sepanjang hampir 1,000 meter tebing sungai di kampung itu telah menunjukkan kesan hakisan dan keadaan semakin teruk sejak banjir besar melanda kawasan itu pada 2014.

"Pihak berkuasa perlu mengambil langkah segera termasuk membina benteng penahan atau menambak semula tebing yang terhakis bagi menyelamatkan kawasan tersebut," tambahnya.

Shahril Nizam (kanan) dan Razak menunjukkan jarak antara tapak perkuburan dan tebing sungai. Foto Sinar Harian

Seorang lagi penduduk, Zulkifli Mahmud, 58, berkata, ia bukan sahaja menempatkan kubur lama malah menjadi laluan utama penduduk kampung.

Jelasnya, jika dibiarkan bukan sahaja tanah perkuburan lenyap, jalan pun boleh terputus.

"Struktur tanah yang lembut dan berpasir menyebabkan tebing mudah runtuh terutama apabila air naik mendadak.

“Kami hanya harapkan satu agar ada tindakan segera. Tambak dengan batu besar pun sudah cukup membantu. Kalau terus tunggu, mungkin bukan saja sejarah, tapi warisan orang lama pun akan lenyap selamanya,” katanya.