PDRM lupus barang kes bernilai RM281,350

Iklan
Kumarasan melupuskan barang kes bahagian siasatan jenayah di IPD Iskandar Puteri, Iskandar Puteri pada Rabu.

ISKANDAR PUTERI – Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri melaksanakan pelupusan barang kes membabitkan nilai rampasan keseluruhan sebanyak RM281,350.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner M. Kumarasan berkata, pelupusan itu melibatkan 567 kertas siasatan.

Iklan
Iklan

Jelas beliau, kes-kes berkenaan telah selesai dan mendapat arahan pelupusan daripada mahkamah, melibatkan tempoh rampasan dari tahun 2017 hingga Mei 2025.

“Empat kategori barang kes yang terlibat ialah mesin Bitcoin, barang kontraban, peralatan perjudian dan barang am.

Iklan

Antara barang pelupusan kes membabitkan tempoh 2017 hingga Mei tahun ini di Ibu Pejabat Polis Daerah Iskandar Puteri.

“Kategori barang kes perjudian mencatat jumlah tertinggi dengan 319 kertas siasatan dan nilai rampasan RM94,380, membabitkan komputer, komputer riba, telefon bimbit dan peralatan elektronik lain.

Iklan

“Mesin Bitcoin membabitkan tujuh kertas siasatan dengan nilai rampasan RM84,700; barang kontraban sebanyak 15 kertas siasatan (RM71,242); dan barang kes am sebanyak 226 kertas siasatan (RM31,028),” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar sempena Majlis Pelupusan Barang Kes IPD Iskandar Puteri pada Rabu.

Turut hadir, Timbalan Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Superintenden Mohd Azlan Abdul Kadir; serta Timbalan Pendakwa Raya Negeri Johor, Muhammad Nursyafiq Abd Halim dan Sarah Siti Aisyah Mustapha Kamal.

Menurut Kumarasan, pelupusan tersebut merupakan sebahagian daripada usaha berterusan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk memastikan pengurusan barang kes dilaksanakan secara sistematik dan mengikut prosedur ditetapkan.

Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya tidak terbabit dalam sebarang kegiatan jenayah seperti perjudian, penyeludupan barangan tidak bercukai dan mencuri elektrik untuk melombong Bitcoin kerana ia merupakan kesalahan serius di sisi undang-undang.