PUTRAJAYA - Seorang individu berjawatan pengerusi sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di Melaka merupakan suspek utama bagi penyelewengan dana yang diperoleh hasil sumbangan orang ramai.
Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki berkata, tangkapan lima individu melibatkan pengerusi, setiausaha, bendahari serta pengurus wang telah dibuat pihaknya.
Menurutnya, dalam kes ini SPRM mengesyaki berlaku kesalahan salah guna kuasa di bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009.
"Bila sebarang NGO atau persatuan yang mendaftar di bawah Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) mereka adalah di bawah akta kami (SPRM) dan dianggap sebagai badan awam.
"Maka sesiapa yang lakukan kesalahan untuk kepentingan diri sendiri, maka ia boleh dikatakan melakukan kesalahan di bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009 dan sebab itu kes ini dibuka mengikut akta berkenaan selain Seksyen 409 Kanun Keseksaan serta Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA)," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat SPRM di sini pada Rabu.
Beliau berkata, sejumlah yang disyaki ialah RM26 juta dikesan dipindahkan daripada akaun NGO berkenaan kepada akaun individu yang disyaki dimasukkan kepada akaun pengerusi berkenaan.
Jelasnya, suspek utama dalam kes ini ialah pengerusi kepada NGO terbabit.
Kata Azam, pengerusi terbabit baru sahaja dibebaskan selepas beberapa hari direman.
"Siasatan masih diteruskan. Kini siasatan mengikut AMLA kerana RM26 juta ini banyak kita kesan dibelanjakan untuk diri sendiri dan pembelian harta tanah dan bangunan daripada wang berkenaan.
"Wang ini datangnya daripada orang ramai yang menyumbang kepada NGO berkenaan antara lain untuk masyarakat di Syria," ujarnya.
Pada 16 Jun lalu, media melaporkan SPRM membongkar kegiatan penyelewengan dana kira-kira RM26 juta milik sebuah NGO yang diperoleh hasil sumbangan orang ramai.
Op Serantau yang dijalankan SPRM Selangor di sekitar Selangor, Melaka dan Pulau Pinang mengesan modus operandi menyeleweng dana itu yang hampir sama seperti yang berlaku dengan pertubuhan Aman Palestin apabila mereka memindahkan wang ke dalam akaun peribadi, selain bagi membeli barang kemas, kereta, tanah dan rumah termasuk membeli mata wang kripto.